DUNIA

Potret syiling Ratu Elizabeth II undang kritikan di Australia

Astro Awani 07/02/2026 | 00:00 MYT
Syiling bernilai A$5 dan syiling perak 50 sen itu dihasilkan bagi memperingati ulang tahun kelahiran ke-100 Ratu Elizabeth II. - Foto Royal Australian Mint
CANBERRA: Dua syiling peringatan yang dikeluarkan oleh Royal Australian Mint dan memaparkan potret mendiang Ratu Elizabeth II menerima kritikan orang ramai kerana didakwa tidak menyerupai wajah sebenar Ratu berkenaan.

Syiling bernilai A$5 dan syiling perak 50 sen itu dihasilkan bagi memperingati ulang tahun kelahiran ke-100 Ratu Elizabeth II dan dikeluarkan menerusi undian dalam talian yang ditutup pada Rabu.

“Itu mungkin potret paling tidak menyenangkan yang pernah ada pada syiling,” kata seorang pengguna media sosial antara beberapa reaksi negatif yang tular.

Bagaimanapun, Royal Australian Mint mempertahankan reka bentuk tersebut dengan menyatakan bahawa “imej pada syiling tidak semestinya menangkap sepenuhnya keindahan sesuatu rekaan apabila diukir pada logam”.

Ratu Elizabeth II mangkat pada 2022 pada usia 96 tahun dan merupakan raja paling lama memerintah dalam sejarah United Kingdom.

Beberapa pengguna media sosial turut membuat perbandingan dengan watak televisyen dan filem, termasuk Mrs Doubtfire, watak pengasuh fiksyen dalam filem komedi terkenal lakonan mendiang Robin Williams.

Namun, terdapat juga reaksi positif terhadap reka bentuk itu, yang dihasilkan oleh salah seorang artis mint berkenaan.

“Hebat. Saya gembira mereka mengeluarkan sesuatu untuk Ratu Elizabeth II, beliau layak mendapat penghormatan istimewa,” kata seorang pengguna.

Walaupun berdepan kritikan, pengumpul melaporkan bahawa undian untuk syiling itu menerima sambutan penuh.

Media Australia, memetik jurucakap Royal Australian Mint, melaporkan syiling perak edisi khas telah habis dijual, manakala baki stok adalah terhad.

Menurut laman web mint tersebut, sebanyak 30,000 keping syiling 50 sen dan 5,000 keping syiling A$5 dihasilkan.

Semua syiling itu merupakan item koleksi dan tidak akan berada dalam edaran umum.

Selain potret Ratu Elizabeth II, syiling berkenaan menampilkan rekaan simbolik yang mencerminkan pelbagai aspek kehidupan dan legasi baginda, termasuk motif kuda dan anjing corgi, unsur seni dan teater, serta bunga kegemaran baginda seperti ros dan lily of the valley.

Bunga wattle emas, lambang flora kebangsaan Australia, turut diketengahkan.

Bahagian belakang syiling pula memaparkan potret anakanda baginda, King Charles, dalam pandangan sisi.






#syiling peringatan #Ratu Elizabeth II #ulang tahun kelahiran #Royal Australian Mint