[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Prabowo lawat Qatar selepas serangan Israel

Bernama 12/09/2025 | 16:38 MYT
Prabowo mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada 3.20 petang waktu tempatan sebelum berangkat ke Istana Lusail untuk pertemuan tersebut, kata Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya. - Gambar Indonesia's Presidential Secretariat
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di Doha pada Jumaat bagi mengadakan perbincangan dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, sebagai tanda solidariti susulan serangan Israel terhadap negara Teluk itu awal minggu ini.

Prabowo mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada 3.20 petang waktu tempatan sebelum berangkat ke Istana Lusail untuk pertemuan tersebut, kata Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya.

"Ini adalah bentuk solidariti dan sokongan langsung Indonesia kepada kerajaan dan rakyat Qatar," katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan situasi serantau serta cara memperkukuh kerjasama dua hala.

Menurut Teddy, Prabowo sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan Qatar dalam perbualan telefon dengan Sheikh Tamim pada Rabu.

Indonesia turut menegaskan sokongan terhadap kedaulatan Qatar dan keamanan di Timur Tengah.

Prabowo berlepas dari Jakarta pada 10.30 pagi, Jumaat waktu tempatan.

Israel melancarkan serangan ke atas kediaman seorang pemimpin Hamas di ibu negara Qatar pada Selasa, ketika perunding kumpulan itu sedang membincangkan cadangan terbaru gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

-- BERNAMA


#gencatan senjata #Prabowo Subianto #Amerika Syarikat #Donald Trump