INTERNATIONAL

Prabowo mahu kos haji Indonesia lebih murah dari Malaysia

Sinar Harian 06/05/2025 | 08:45 MYT
Prabowo meminta pihak berkaitan mencari penyelesaian bagi menurunkan kos haji bagi jemaah Indonesia. - Gambar fail/IG Prabowo
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa kerajaan akan terus berusaha menurunkan kos perjalanan haji bagi rakyat Indonesia kerana dianggarkan masih mahal berbanding Malaysia.

Ringkasan AI
  • Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan bahawa kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kos perjalanan haji bagi rakyat Indonesia, dengan harapan ia lebih murah daripada Malaysia.
  • Prabowo berjanji akan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji dan meminta pihak berkaitan mencari penyelesaian bagi menurunkan kos haji lebih jauh lagi.
  • Beliau menyatakan bahawa Indonesia memiliki salah satu jumlah jemaah haji dan umrah terbesar di dunia, dengan lebih 2.2 juta jemaah diterbangkan ke Tanah Suci setiap tahun.

“Saya minta dikurangkan lagi kerana saya belum puas. Kita harus mencapai yang termurah yang boleh kita capai. Kalau boleh lebih murah daripada Malaysia,” kata Prabowo semasa perasmian Terminal Khusus Haji dan Umrah 2F di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Ahad.
Prabowo turut berjanji akan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi jemaah haji Indonesia dan meminta Menteri Agama serta pihak berkaitan mencari penyelesaian agar kos haji dapat diturunkan lagi.
“Saya akan berusaha sekeras tenaga untuk memberi perkhidmatan terbaik, juga kita berjuang untuk menurunkan kos haji semurah-murahnya yang kita mampu,” tambahnya.
Dalam kesempatan itu, Prabowo juga menyatakan bahawa jumlah jemaah haji dan umrah Indonesia boleh menjadi salah satu yang terbesar di dunia, dengan lebih daripada 2.2 juta jemaah diterbangkan ke Tanah Suci dan puncak jemaah sehari boleh mencapai 12,000 orang.
“Ini sesuatu yang sangat besar, mungkin kita yang terbesar di dunia daripada seluruh umat Islam, mungkin Indonesia yang paling besar rombongan haji dan umrah,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa kerajaan ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah kerana ramai jemaah kini sudah berusia lanjut.
Tahun ini, kos haji Indonesia telah dikurangkan sebanyak 4 juta rupiah (RM1,029) seorang, iaitu daripada 93.41 juta rupiah (RM24,275) pada 2024 kepada 89.41 juta rupiah (RM23,100) pada 2025. - Agensi via Sinar Harian
#Prabowo Subianto #jemaah Indonesia #kos tunai haji #lebih murah dari Malaysia