Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Prabowo minta bertemu anak Trump selepas sidang kemuncak keamanan Gaza di Mesir

Astro Awani 13/10/2025 | 22:40 MYT
Prabowo dilaporkan meminta Trump, untuk bertemu dengan anaknya, Eric, yang merupakan Naib Presiden Eksekutif Trump Organization. - Foto REUTERS
SHARM EL-SHEIKH: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dilaporkan meminta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk bertemu dengan anaknya, Eric Trump, yang merupakan Naib Presiden Eksekutif Trump Organization.


Ringkasan AI
  • Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dilaporkan meminta Presiden AS Donald Trump untuk mengatur pertemuan dengan anaknya, Eric Trump, selepas sidang kemuncak Gaza di Mesir.
  • Permintaan tersebut didedahkan melalui rakaman audio dan video yang menunjukkan kedua-dua pemimpin berbual tanpa menyedari mikrofon masih berfungsi di Sharm el-Sheikh.
  • Walaupun Trump bersetuju untuk meminta Eric menghubungi Prabowo, rakaman tidak menjelaskan sama ada perbualan itu berkaitan urusan perniagaan atau projek Trump Organization di Indonesia.


Perkara ini didedahkan menerusi rakaman perbualan selepas Trump berucap pada sidang kemuncak berkaitan Gaza di Mesir.

Rakaman audio dan video menunjukkan kedua-dua pemimpin itu tidak menyedari mikrofon masih aktif ketika mereka berbual di bandar peranginan Sharm el-Sheikh, selepas Trump menyampaikan ucapan kepada pemimpin dunia yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan, susulan pengumuman gencatan senjata di Gaza.

Dalam rakaman itu, tidak jelas sama ada perbualan tersebut merujuk kepada Trump Organization atau sebarang urusan perniagaan yang melibatkan presiden berkenaan atau keluarganya.

Ketika berdiri di belakang podium, Prabowo dilaporkan menyebut mengenai kawasan yang “tidak selamat dari segi keselamatan” sebelum bertanya kepada Trump sama ada beliau boleh bertemu Eric.

“Boleh saya bertemu Eric?”

Trump kemudian menjawab beliau akan meminta Eric untuk menghubungi Prabowo.

“Saya akan minta Eric hubungi. Patutkah saya buat begitu? Dia seorang yang baik. Saya akan minta Eric hubungi," jawabnya ringkas.

Prabowo kemudian membalas akan mencari lokasi yang lebih sesuai namun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai perbincangan berkenaan.

Trump sekali lagi berkata akan meminta Eric menghubungi Prabowo sebelum Presiden Republik Indonesia itu bertanya, sama ada Eric atau Don Jr. yang akan menghubungi beliau.

Eric Trump dan Donald Trump Jr. memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif dalam Trump Organization, yang menjalankan operasi perniagaan melibatkan hartanah, hospitaliti dan usaha berasaskan teknologi blockchain.

Menurut laman web syarikat itu, Trump Organization mengendalikan sebuah kelab golf di luar Jakarta, sebuah lagi projek kelab golf dan resort di Bali disenaraikan sebagai “akan datang”.




#Donald Trump #Bali #gencatan senjata #Sidang Kemuncak Keamanan Gaza