Perdana Menteri General Prayut Chan-o-cha menegaskan kerajaan beliau telah memulakan rundingan damai di wilayah Selatan Thailand yang dilanda pergolakan, lapor agensi berita Thai, TNA.

Turut dibincangkan mengenai projek pembangunan tempatan dan penguatkuasaan undang-undang, katanya kepada wartawan di Rumah Kerajaan di sini pada Khamis.

Beliau berkata menteri yang berkaitan juga telah mengadakan lawatan ke Selatan Thailand itu secara mingguan.

Menurut Perdana Menteri Thailand itu pergolakan yang berlaku di wilayah berkenaan disebabkan banyak faktor termasuk konflik, perbalahan dan percanggahan pendapat.

"Pihak kerajaan cuba mewujudkan pengajaran dua-kurikulum dan ia dilihat boleh diterima kebanyakan pihak namun ada segelintir masih berpegang teguh kepada pendidikan secara konvensional dan masalah itu terus berlarutan," katanya.

Beliau berkata langkah menyelesaikan masalah keganasan di kawasan yang bergolak oleh pihak kerajaan turut diterima oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).