DUNIA

Presiden Argentina, Javier Milei diserang dengan batu ketika perhimpunan kempen

Bernama 28/08/2025 | 04:25 MYT
Presiden Milei menjawab soalan wartawan dari kenderaan dinaiki beliau semasa menjayakan kempen untuk partinya, La Libertad Avanza di Lomas de Zamora, sebuah kawasan miskin di Buenos Aires, pada Rabu.- Gambar Reuters
BUENOS AIRES: Presiden Argentina, Javier Milei terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas beliau dibaling batu semasa satu perhimpunan kempen berhampiran Buenos Aires pada Rabu, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Jurucakapnya, Manuel Adorni di platform X berkata, Milei dipindahkan dengan selamat dari acara di Lomas de Zamora, sebuah kawasan miskin di pinggir ibu negara.

Media tempatan melaporkan berlaku pertembungan antara penyokong dan penentang pemimpin itu, dengan polis menahan dua individu buat sementara waktu.

Beberapa pegawai kerajaan menyalahkan serangan itu ke atas pengikut "kirchnerism," merujuk kepada kem politik bekas Presiden Cristina Fernandez de Kirchner.

Milei kemudiannya memuat naik gambar di X yang menunjukkan beliau tersenyum bersama adiknya, Karina Milei dan Ahli Parlimen Jose Luis Espert.

Insiden itu berlaku ketika Milei sedang berkempen untuk partinya, La Libertad Avanza, menjelang pilihan raya tempatan di wilayah Buenos Aires pada 7 September.

Pertembungan turut dilaporkan berlaku pada Isnin di satu lagi perhimpunan di Junin sebelum Milei sempat berucap.

--BERNAMA-dpa





#Presiden Argentina #Javier Milei #pengikut kirchnerism #kempen politik #La Libertad Avanza