DUNIA

Presiden Bolivia bubar Kementerian Kehakiman

Bernama 22/11/2025 | 06:30 MYT
Rodrigo Paz Pereira hari ini mengumumkan membubarkan Kementerian Kehakiman negara itu. - Gambar/ FB Rodrigo Paz Pereira
RIO DE JANEIRO: Presiden baharu Bolivia Rodrigo Paz Pereira membubarkan Kementerian Kehakiman berikutan konflik yang semakin memuncak dalam pentadbiran kerajaannya, lapor agensi berita Jerman, dpa.

"Pada hari ini saya menunaikan janji saya untuk menutup kementerian Kehakiman ini," kata Paz pada sidang media Jumaat.

Walaupun penutupan itu merupakan antara janji pilihan raya beliau, pertikaian mengenai pelantikan menteri kehakiman akhirnya mempercepatkan keputusan berkenaan.

Paz pada awalnya menghalang pelantikan Jorge Franz Garcia sebagai Menteri Kehakiman yang baharu.

Keputusan itu dibuat selepas timbul pertikaian mengenai kedudukan undang-undang menteri sebelumnya yang menurut Menteri Dalam Negeri, Antonio Oviedo, memiliki sabitan yang sah dan oleh itu tidak dibenarkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Konflik itu bertambah tegang apabila Naib Presiden Edmand Lara menyatakan bahawa Garcia, calon pengganti jawatan berkenaan turut mempunyai "beberapa prosiding yang masih berjalan" terhadapnya.

Sebagai respons, Paz akhirnya membubarkan kementerian berkenaan.

-- BERNAMA




#Bolivia #Kementerian Kehakiman #konflik Bolivia #Rodrigo Paz Pereira