DUNIA
Presiden Brazil kecam serangan ke atas Iran, desak Israel tinggalkan Gaza

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berucap pada Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro, Brazil pada Ahad. - Gambar Reuters
RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai satu bentuk genosid, sambil menggesa dunia untuk segera bertindak menghentikan kekejaman yang sedang berlaku.
Ketika berucap pada Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro yang turut dihadiri pemimpin dari China, India dan negara-negara lain, Lula berkata, komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Kita tidak boleh berpeluk tubuh terhadap genosid yang dilakukan Israel di Gaza - pembunuhan tanpa mengira sasaran terhadap orang awam yang tidak berdosa, dan penggunaan kelaparan sebagai senjata perang,” katanya pada Ahad.
Kenyataan keras Lula itu dibuat ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas disambung semula di Doha, di tengah-tengah tekanan global untuk menamatkan perang yang telah berlarutan selama 21 bulan, sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 di selatan Israel.Lula turut menegaskan bahawa tiada apa yang boleh membenarkan tindakan keganasan Hamas pada hari tersebut, yang telah mengorbankan 1,219 nyawa, kebanyakannya orang awam Israel.
Namun, beliau tidak menolak untuk mengkritik keras tindak balas Israel, yang didakwa telah membunuh sekurang-kurangnya 57,418 orang di Gaza - juga majoritinya orang awam.
Sementara itu, negara-negara BRICS dilaporkan berbeza pandangan berhubung betapa kerasnya mereka perlu mengecam tindakan Israel, termasuk pengeboman ke atas Iran dan serangan berterusan di Gaza.
Autonomi negara membangun kembali tercabar
Dalam sesi pembukaan, para pemimpin BRICS turut menyuarakan keperluan untuk mereformasi institusi antarabangsa yang dikuasai kuasa Barat, sambil menampilkan BRICS sebagai penyokong kuat diplomasi pelbagai hala dalam dunia yang semakin berpecah.
Dengan forum-forum seperti G7 dan G20 dilihat semakin lemah berikutan perpecahan dalaman, serta dasar America First oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, peluasan keanggotaan BRICS dilihat membuka ruang baharu untuk penyelarasan dasar diplomatik negara-negara membangun.
“BRICS adalah warisan kepada Gerakan Negara-Negara Berkecuali,” kata Lula, merujuk kepada blok negara yang enggan memihak dalam Perang Dingin. “Ketika multilateralisme diserang, autonomi kita sekali lagi tercabar.”
Kini, negara-negara BRICS mewakili lebih separuh daripada populasi dunia dan sekitar 40 peratus keluaran ekonomi global.
Ditubuhkan pada 2009 oleh Brazil, Rusia, India dan China, blok itu kemudiannya disertai Afrika Selatan serta enam anggota baharu tahun lalu - Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Sidang kali ini adalah yang pertama melibatkan penyertaan pemimpin Indonesia.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin utama tidak hadir secara fizikal.
Presiden China, Xi Jinping hanya menghantar Perdana Menteri sebagai wakil, manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin menyertai secara maya susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadapnya.
Meski begitu, beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, menghadiri sesi perbincangan di Muzium Seni Moden Rio de Janeiro pada Ahad dan Isnin.
Setakat ini, lebih 30 negara telah menyatakan minat untuk menyertai BRICS sama ada sebagai ahli penuh atau rakan kerjasama. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami