Presiden Cameroon, Paul Biya yang berusia 92 tahun menang pilihan raya penggal kelapan

Paul Biya (tengah) bersalaman dengan pemerhati pilihan raya sambil diperhatikan oleh isterinya, Chantal sejurus selepas pasangan itu membuang undi di Yaounde pada 12 Oktober lalu. - Gambar Reuters
YAOUNDE: Presiden Cameroon, Paul Biya yang berusia 92 tahun, memenangi penggal kelapan dalam pilihan raya yang penuh kontroversi dan dipertikaikan hebat oleh pembangkang serta masyarakat antarabangsa.
Menurut Majlis Perlembagaan negara itu, Biya memperoleh 53.7 peratus undi, menewaskan pencabar utama, Issa Tchiroma Bakary yang meraih 35.2 peratus undi.
Tchiroma Bakary, bekas sekutu Biya, sebelum pengumuman rasmi mendakwa, beliau telah memenangi pilihan raya tersebut.
Namun, dakwaan itu ditolak oleh parti pemerintah, Cameroon People's Democratic Movement (CPDM).
Pilihan raya yang berlangsung pada 12 Oktober lalu dicemari insiden keganasan, termasuk pertempuran antara penyokong pembangkang dan pasukan keselamatan.
Ratusan penyokong Tchiroma Bakary dilaporkan melanggar larangan berhimpun di beberapa bandar utama.
Dalam kenyataan selepas kemenangan diumumkan, Biya mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana terus memberi kepercayaan kepadanya.
“Saya berharap kita dapat bersama-sama membina Cameroon yang aman, bersatu dan makmur,” katanya.
Namun, ketegangan terus memuncak.
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam protes di Douala, ibu kota ekonomi Cameroon pada Ahad.
Menurut Gabenor wilayah, Samuel Dieudonné Diboua, beberapa balai polis diserang dan pasukan keselamatan bertindak mempertahankan diri.
Keganasan berlanjutan ke hari berikutnya apabila beberapa individu dilaporkan ditembak mati berhampiran kediaman Tchiroma Bakary di bandar Garoua.
Seorang wartawan tempatan memaklumkan kepada BBC, tembakan dilepaskan ke arah orang awam yang berkumpul di luar rumah pemimpin pembangkang itu.
Tchiroma Bakary turut mendakwa penembak tepat ditempatkan di bangunan bersebelahan rumahnya dan melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah orang ramai.
Pihak berkuasa setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.
Para penunjuk perasaan mendakwa kemenangan Biya adalah hasil manipulasi oleh CPDM untuk “merampas kemenangan” daripada Tchiroma Bakary.
Di ibu negara Yaounde, suasana tegang menyebabkan kebanyakan premis perniagaan dan sekolah ditutup, manakala penjawat awam dan pekerja pejabat tidak hadir bekerja.
Sebanyak 10 calon bertanding dalam pilihan raya kali ini, termasuk bekas Perdana Menteri, Bello Bouba Maigari.
Peratusan keluar mengundi direkodkan pada 58 peratus.
Majlis Perlembagaan Cameroon menolak sekurang-kurangnya 10 petisyen berkaitan dakwaan penyelewengan pilihan raya.
Penduduk Yaounde meluahkan kebimbangan terhadap kemenangan Biya yang dianggap tidak sah.
“Kita berada di permulaan satu lagi mimpi ngeri,” kata Amungwa Nicodemus kepada BBC.
“Ekonomi merosot, rasuah berleluasa, banyak perkara tidak berjalan dengan baik,” tambahnya.
Namun, ada juga yang menyeru rakyat menerima keputusan demi keamanan negara.
“Yang paling ketara selepas keputusan diumumkan ialah kesunyian - sunyi seperti tanah perkuburan,” kata Vivian Muma dari Bamenda.
“Kesunyian itu menceritakan segalanya. Rakyat Cameroon telah membuat pilihan, tetapi mereka yang membuat keputusan memilih sebaliknya,” ujarnya.
Parti pemerintah menyambut kemenangan Biya sebagai simbol “keagungan dan harapan” dalam hantaran media sosial.
Biya yang memegang kuasa sejak 1982, jarang muncul di khalayak dan sering menghabiskan masa di hotel mewah di Switzerland.
Ketiadaan beliau yang berpanjangan serta usia lanjut pernah mencetuskan khabar angin mengenai kematiannya.
Walaupun kepimpinannya dipuji dalam pembangunan institusi pendidikan dan penyelesaian pertikaian wilayah Bakassi dengan Nigeria, Biya turut dikritik kerana gagal menangani pemberontakan pemisah di wilayah berbahasa Inggeris, kadar pengangguran tinggi dalam kalangan belia, kemudahan awam yang daif serta sekatan terhadap kebebasan bersuara.
Penganalisis memberi amaran bahawa Cameroon berisiko terjerumus ke dalam krisis politik jika keputusan pilihan raya tidak mencerminkan kehendak rakyat.
“Mandat Biya kini goyah kerana ramai rakyat sendiri tidak percaya beliau menang pilihan raya,” kata Pengarah Program Afrika di International Crisis Group, Murithi Mutiga.
“Kami menyeru Biya segera memulakan proses rundingan nasional bagi mengelak ketegangan terus memuncak,” tambahnya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


