Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
DUNIA

Presiden Colombia kecam genosid di Gaza sebagai "antikemanusiaan"

Bernama 30/08/2025 | 09:15 MYT
Gustavo menegaskan bahawa mereka yang berdiam diri hanyalah "bersubahat" dalam genosid dan "terbuang secara rohani dari muka bumi." - Gambar/ AP
ISTANBUL: Presiden Colombia Gustavo Petro pada Jumaat mengecam keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza, menyifatkan penerimaan terhadap genosid yang berlaku di wilayah itu sebagai tindakan "antikemanusiaan", lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Gustavo Petro mengecam keadaan kemanusiaan di Gaza dan menyifatkan penerimaan terhadap genosid sebagai tindakan antikemanusiaan, sambil menegaskan bahawa mereka yang berdiam diri adalah bersubahat secara rohani.
  • Colombia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada Mei sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan berterusan terhadap rakyat Palestin yang telah meragut lebih 63,000 nyawa sejak Oktober 2023.
  • Israel kini berdepan tindakan undang-undang antarabangsa termasuk waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap pemimpinnya serta kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.


"Sesiapa yang menerima genosid ini adalah antikemanusiaan; malah haiwan pun tidak akan melakukan perkara sebegini," tulis Petro di platform media sosial X milik Amerika Syarikat, sambil berkongsi rakaman video yang menunjukkan rakyat Palestin bergegas mendapatkan konvoi bantuan kemanusiaan.

Beliau menegaskan bahawa mereka yang berdiam diri hanyalah "bersubahat" dalam genosid dan "terbuang secara rohani dari muka bumi."

Colombia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada 3 Mei lalu sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan berterusan rejim itu terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Sejak Oktober 2023, lebih 63,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan Israel. Kempen ketenteraan itu turut memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan yang kini berdepan krisis kebuluran.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang yang dilancarkannya di wilayah itu.

-- BERNAMA


#Gustavo Petro #Presiden Colombia #Gaza #kekejaman israel