Skip to main content

Dunia

Presiden Colombia minta Trump gantung sementara tarif tinggi susulan gempa bumi

Colombia's President Abelardo de la Espriella delivers a statement on recovery efforts following Monday's earthquake, which struck several major cities in western Colombia, at San Carlos Palace in Bogota, Colombia, August 12, 2026. REUTERS/Jose Vargas
De la Espriella berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Trump atas bantuan dalam operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan susulan gempa bumi. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Colombia Abelardo de la Espriella pada Sabtu meminta Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggantung sementara tarif tinggi yang dikenakan terhadap Colombia, selain mengucapkan terima kasih atas sokongan ekonomi susulan gempa bumi yang melanda negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam perbualan telefon selama 10 minit itu, De la Espriella berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Trump atas bantuan dalam operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan susulan gempa bumi.

“Presiden Trump turut menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terbunuh dalam gempa bumi itu dan menyatakan solidariti terhadap keluarga Colombia yang terjejas akibat bencana berkenaan.

“Saya memberitahu beliau bahawa kami berdepan cabaran besar dan meskipun mewarisi keadaan ekonomi yang amat sukar dan buruk, kami akan membangunkan semula Colombia,” kata De la Espriella menerusi platform media sosial X.

“Perbualan itu berlangsung dalam suasana yang amat mesra dan baik. Presiden Trump sangat ramah, selain menyatakan rasa kasihnya terhadap Colombia dan simpati kepada rakyat kami.

“Saya sekali lagi menyampaikan penghargaan atas solidariti dan sokongan yang ditunjukkan AS terhadap Colombia. Kini, lebih daripada sebelumnya, pakatan antara Colombia dan AS amat penting bagi membangunkan semula negara kami,” katanya.

Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda Colombia pada 10 Ogos meningkat kepada 294 orang.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement