DUNIA

Presiden Filipina akan lawat AS selepas tarif 20 peratus diumumkan - Kementerian Luar

Bernama 11/07/2025 | 22:30 MYT
Ferdinand Marcos Jr dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat pada 20 hingga 22 Julai, namun, Kementerian Luar Filipina masih belum mengesahkan sama ada pertemuan antara beliau dan Presiden Trump akan diadakan. - Gambar fail AP
MOSCOW: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. akan mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat (AS) susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai tarif 20 peratus ke atas semua import dari negara itu, menurut Kementerian Luar Filipina pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Negara AS untuk memuktamadkan butiran lawatan ini. Maklumat lanjut akan dikongsi sebaik sahaja dimuktamadkan," menurut kenyataan itu.

Lawatan itu dijadualkan pada 20 hingga 22 Julai.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Filipina masih belum mengesahkan sama ada pertemuan antara Marcos Jr. dan Trump akan diadakan.

Pada 9 Julai, Washington mengumumkan pelaksanaan tarif 20 peratus ke atas barangan Filipina, berkuat kuasa 1 Ogos. Sebagai tindak balas, Duta Filipina ke AS Jose Manuel Romualdez berkata Manila berhasrat untuk memohon semakan semula keputusan tarif itu.

Pada 2 April, Trump telah menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif timbal balik 10 peratus ke atas import, dengan kadar lebih tinggi ke atas 57 negara bermula 9 April, berdasarkan defisit perdagangan AS.

Selepas lebih 75 negara memilih untuk berunding berbanding bertindak balas, kadar asas 10 peratus dikenakan untuk tempoh 90 hari sehingga 9 Julai.

Dua hari sebelum tarikh akhir itu, Trump memanjangkan penangguhan tarif lebih tinggi sehingga 1 Ogos, namun memaklumkan beberapa negara bahawa kadar tarif lebih tinggi akan dikenakan bermula tarikh itu.

-- BERNAMA


#presiden filipina #Ferdinand Marcos Jr #tarif Trump #lawatan rasmi