DUNIA

Presiden Filipina nafi terlibat dadah seperti didakwa kakak sendiri

Agensi 18/11/2025 | 01:50 MYT
Ferdinand Marcos Jr menafikan dakwaan kakaknya yang beliau merupakan penagih dadah tegar dan bergantung kepada kokain sehingga menjejaskan pentadbiran negara. - Gambar AP
MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menafikan dakwaan kakaknya yang juga seorang senator bahawa beliau merupakan penagih dadah tegar dan bergantung kepada kokain sehingga menjejaskan pentadbiran negara.

Jurucakap Presiden menyifatkan tuduhan Imee Marcos sebagai isu lama yang sudah lama disangkal.

Menurut Timbalan Setiausaha Komunikasi, Claire Castro, dakwaan tidak berasas itu mungkin bertujuan mengalih perhatian daripada siasatan rasuah projek kawalan banjir yang dikaitkan dengan sekutu Imee di Senat.

“Senator Imee, saya harap anda bersikap patriotik dan bantu siasatan yang dijalankan Presiden sendiri. Jangan lindungi mereka yang korup,” kata Castro.

Ketika ini, suruhanjaya bebas, jawatankuasa Senat dan agensi kerajaan sedang menyiasat dakwaan ahli politik menerima komisen besar daripada kontraktor projek kawalan banjir yang didakwa tidak siap atau tidak wujud.

Skandal ini mencetuskan kemarahan rakyat Filipina yang sering berdepan banjir dan taufan.

Imee Marcos dilihat rapat dengan bekas Presiden Rodrigo Duterte, pengkritik lantang Marcos.

Duterte kini ditahan di Belanda selepas dituduh melakukan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung operasi anti-dadah yang mengorbankan ribuan nyawa.

Keluarga dan sekutu Duterte menuding jari kepada pentadbiran Marcos atas penahanan itu.

Dalam satu perhimpunan besar di Manila, Imee mendakwa, ketagihan dadah adiknya bermula sejak era pemerintahan ayah mereka dan berlarutan sehingga kini, menjejaskan kesihatan dan keupayaan mentadbir negara.

Beliau turut menuduh isteri dan anak-anak Marcos terlibat dengan dadah.

Anak Marcos, Sandro, menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai “tidak bertanggungjawab dan berbahaya.”

Tuduhan ini muncul selepas Duterte sebelum ini mendakwa Marcos seorang penagih dadah, namun laporan perubatan dan ujian makmal polis pada 2021 menunjukkan Marcos negatif kokain dan methamphetamine. - Agensi



#presiden filipina #Ferdinand Marcos Jr #Dadah #Senator Imee Marcos