DUNIA

Presiden Indonesia Prabowo sahkan perjanjian ekstradisi dengan Rusia

Bernama 06/12/2025 | 00:10 MYT
Pada Jun lalu, dalam rangka lawatan rasmi negara ke Rusia, Prabowo berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin. - Facebook Prabowo
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto secara rasmi mengesahkan perjanjian ekstradisi dengan Rusia melalui Undang-Undang Nombor 19 Tahun 2025, lapor agensi berita ANTARA.


Ringkasan AI
  • Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengesahkan perjanjian ekstradisi dengan Rusia melalui Undang-Undang No. 19 Tahun 2025, bertujuan memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang antara kedua negara dalam memerangi jenayah rentas negara.
  • Peraturan tersebut, yang telah ditandatangani pada 29 Okt 2025 di Jakarta, menjadi dasar perundangan domestik bagi perjanjian dua hala sebelum ini ditandatangani pada 31 Mac 2023 di Bali.
  • Undang-undang tersebut menetapkan aspek utama ekstradisi termasuk kewajipan mengekstradisi pesalah, kesalahan boleh diekstradisi, alasan penolakan, permohonan, dokumen sokongan yang diperlukan, serta prosedur penyerahan individu.


Menurut maklumat daripada Rangkaian Dokumentasi dan Maklumat Undang-Undang (JDIH) Kementerian Sekretariat Negara di sini pada Jumaat, undang-undang itu ditandatangani Presiden pada 29 Okt 2025 di Jakarta.

Peraturan tersebut menjadi dasar perundangan domestik bagi perjanjian dua hala berkenaan, yang bertujuan memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang antara kedua-dua negara, khususnya dalam memerangi jenayah rentas negara.

Perjanjian itu sebelum ini ditandatangani oleh kerajaan Indonesia dan Rusia pada 31 Mac 2023 di Bali.

Pengesahan undang-undang tersebut dibuat selepas persetujuan bersama Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dan Presiden.

Perkara 1 Undang-Undang No. 19/2025 memperuntukkan bahawa perjanjian ekstradisi disahkan, dengan salinan teks asal dalam bahasa Indonesia, Rusia dan Inggeris dilampirkan sebagai bahagian tidak terpisahkan daripada undang-undang itu.

Undang-undang tersebut disahkan atas pertimbangan bahawa, sebagai sebahagian daripada komuniti antarabangsa, Indonesia perlu menjalinkan hubungan dan kerjasama antarabangsa.

Penjelasan umum undang-undang itu menyatakan bahawa kemajuan sains dan teknologi, khususnya dalam bidang pengangkutan, komunikasi dan maklumat, menjadikan sempadan hampir "tanpa batas", sekali gus meningkatkan peluang suspek atau penjenayah melarikan diri daripada siasatan, pendakwaan atau hukuman.

Perjanjian ekstradisi itu dijangka mengukuhkan kerjasama dua hala dalam penguatkuasaan undang-undang berdasarkan prinsip saling menguntungkan.

Ia juga melengkapkan kerjasama terdahulu di bawah Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama Dalam Perkara Jenayah, yang disahkan melalui Undang-Undang No. 5 Tahun 2021.

Undang-Undang No. 19/2025 itu menggariskan aspek utama ekstradisi, termasuk kewajipan mengekstradisi pesalah, kesalahan boleh diekstradisi, alasan penolakan, permohonan dan dokumen sokongan yang diperlukan, serta prosedur penyerahan individu.

-- BERNAMA


#Prabowo Subianto #Rusia #perjanjian ekstradisi #Undang-Undang Nombor 19 Tahun 2025