ISTANBUL: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengarahkan satu “siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah” berhubung insiden yang berlaku semasa protes antikerajaan pada Januari lepas, lapor Anadolu Ajansi.
Ketika berucap pada Ahad dalam mesyuarat “Coordination Council of Presidential Deputies”, Pezeshkian menegaskan keperluan terhadap “ketelusan dan penyediaan maklumat yang tepat,” menurut agensi berita rasmi IRNA.
Advertisement
Beliau mengumumkan, arahan telah dikeluarkan untuk melaksanakan “siasatan menyeluruh dan berkecuali” terhadap semua aspek protes berkenaan.
Presiden itu turut menyeru individu atau kumpulan yang mempunyai dokumen atau data berkaitan supaya mengemukakannya bagi membantu menjelaskan perkara berkenaan.
“Jika sebarang salah laku dibuktikan, ia akan ditangani mengikut undang-undang,” katanya.
Pezeshkian seterusnya menekankan kepentingan mengadakan perbincangan di universiti serta melibatkan pakar bagi menjelaskan kejadian itu dan membantu meyakinkan pendapat awam.
Awal bulan ini, pejabat presiden Iran mengeluarkan laporan yang menyenaraikan nama 2,986 individu yang terkorban semasa protes antikerajaan yang tercetus pada penghujung 2025, daripada keseluruhan 3,117 kematian yang direkodkan semasa kekacauan itu.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Pejabat Presiden itu, angka korban termasuk orang awam dan anggota pasukan keselamatan.
Protes berkenaan tercetus susulan kemerosotan keadaan ekonomi dan taraf hidup serta berlangsung selama kira-kira dua minggu.
Pihak berkuasa Iran mengakui wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat, namun menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel cuba mengeksploitasi kekacauan itu melalui sekatan dan tekanan bagi menghasut ketidakstabilan bagi mewajarkan campur tangan asing dan pertukaran rejim.
-- BERNAMA-ANADOLU