DUNIA
Presiden Iran puji perpaduan rakyat hadapi pencerobohan Israel
Masoud menyifatkan solidariti yang terjalin dalam kalangan rakyat Iran sebagai aset berharga dan sumber kekuatan negara yang perlu dipelihara. - Foto Reuters
TEHERAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian memuji rakyat Iran kerana terus menunjukkan perpaduan dan ketabahan dalam menghadapi pencerobohan Israel, sambil menyifatkan bahawa rakyat Iran seharusnya berbangga dengan apa yang beliau anggap sebagai kemenangan ke atas rejim Zionis.
Ringkasan AI
- Presiden Iran Masoud Pezeshkian memuji rakyat Iran atas perpaduan dan ketabahan semasa konflik dengan Israel, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kejayaan rakyat yang harus dibanggakan.
- Beliau menekankan bahawa perpaduan nasional adalah aset penting dan meramalkan masa depan cerah jika solidariti ini dikekalkan.
- Pezeshkian mengulangi komitmen Iran terhadap kestabilan serantau dan menyeru negara jiran agar bersatu menentang usaha pihak luar yang mahu menimbulkan perpecahan.
Dalam satu perutusan pada malam Selasa, Masoud menekankan kepentingan mengekalkan kesatuan dan perpaduan yang telah terbina sepanjang konflik itu.
Beliau menyifatkan solidariti yang terjalin dalam kalangan rakyat sebagai aset berharga dan sumber kekuatan negara yang perlu dipelihara, lapor agensi berita Mehr.
Presiden itu turut meramalkan masa depan yang lebih cerah untuk Iran, dengan mengaitkannya dengan kesinambungan perpaduan nasional dan tekad bersama rakyat.
Menurutnya, kerosakan yang dilakukan angkatan bersenjata Iran terhadap musuh adalah jauh lebih besar berbanding kerugian yang dialami oleh negaranya.
Pezeshkian berkata bahawa tindakan provokatif rejim Zionis akhirnya membawa padah dan konfrontasi itu telah membuktikan kekuatan serta maruah bangsa Iran kepada dunia.
"Segala kebanggaan daripada kemenangan ini adalah milik rakyat dan mereka seharusnya berbangga dengannya," katanya.
Beliau turut mengulangi komitmen Iran terhadap kestabilan serantau dan hidup bersama secara aman dengan negara jiran. Pezeshkian menegaskan bahawa keupayaan pertahanan Iran adalah demi menjamin keselamatan rantau ini, khususnya negara-negara Islam dan jiran terdekat.
Presiden itu turut menyeru negara-negara serantau agar terus berwaspada dan bertindak bijak dalam menangkis sebarang cubaan pihak musuh untuk mencetuskan perpecahan.
-- BERNAMA