DUNIA

Presiden Iran zahir penghargaan kepada rakyat yang hadir hormati mangsa serangan Israel

Agensi 28/06/2025 | 22:50 MYT
Kata Presiden Pezeshkian: “Berbakti kepada bangsa yang merdeka dan berjiwa besar seperti anda adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya.” - Gambar Reuters
TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menzahirkan penghargaan kepada rakyat negara itu atas kehadiran mereka menyertai upacara memperingati individu yang terkorban dalam konflik berdarah selama 12 hari antara Iran dan Israel yang berakhir dengan gencatan senjata yang diatur oleh Amerika Syarikat.
Dalam satu hantaran di platform X pada Sabtu, Pezeshkian berkata: “Saya mengucapkan terima kasih yang tulus kepada anda semua, rakyat yang dikasihi.”
"Dengan penuh kasih sayang, anda mengiringi pemergian para syuhada tanah air, dan suara kesatuan kita bergema ke seluruh dunia,” katanya lagi.
Tambah beliau: “Berbakti kepada bangsa yang merdeka dan berjiwa besar seperti anda adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya.”
Terdahulu pada Sabtu, ratusan ribu rakyat Iran berhimpun di ibu negara Tehran bagi menghadiri upacara pengebumian kenegaraan melibatkan pegawai kanan tentera, saintis nuklear serta orang awam yang terbunuh dalam siri serangan udara oleh Israel awal bulan ini.
Konflik selama hampir dua minggu itu menyaksikan pertukaran serangan udara antara kedua-dua negara, sebelum ditamatkan menerusi rundingan gencatan senjata yang dimeterai dengan bantuan Washington. - Agensi
#konflik Israel-Iran #pengebumian Iran #mangsa serangan Israel #Presiden Masoud Pezeshkian