Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Presiden Ireland desak PBB bertindak, kecam Israel pinggirkan undang-undang antarabangsa

Bernama 24/08/2025 | 06:30 MYT
Higgins (foto) menyifatkan konflik Gaza sebagai "lingkungan tanpa kebertanggungjawaban" dan ancaman besar kepada demokrasi. -Gambar fail/Reuters
DUBLIN: Presiden Ireland Michael D Higgins menyifatkan konflik berterusan di Gaza kini berada dalam "lingkungan tanpa kebertanggungjawaban," lapor PA Media/dpa.


Ringkasan AI
  • Presiden Ireland Michael D Higgins menyifatkan konflik Gaza sebagai "lingkungan tanpa kebertanggungjawaban" dan ancaman besar kepada demokrasi.
  • IPC mengesahkan kebuluran sedang berlaku di Bandar Gaza dan dijangka merebak ke kawasan selatan akibat sekatan bantuan.
  • Higgins menyeru penegasan semula peranan Perhimpunan Agung PBB dan penggunaan mekanisme Bab Tujuh untuk menjamin akses kemanusiaan.


Higgins menggambarkan konflik itu sebagai satu "tempoh tragis" dalam sejarah dunia.

Badan pemantau kebuluran global yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Integrated Food Security Phase Classification (IPC), pada Jumaat mengesahkan kebuluran sedang berlaku di Bandar Gaza dan dijangka merebak ke kawasan selatan.

Perkembangan itu menyusul selepas beberapa minggu amaran oleh kumpulan bantuan bahawa sekatan terhadap penghantaran bantuan telah membawa kepada kebuluran dalam kalangan rakyat Palestin.

Dalam wawancara dengan stesen RTE Radio 1, Higgins menegaskan bahawa "lingkungan tanpa kebertanggungjawaban merupakan ancaman paling berbahaya terhadap demokrasi."

"Kita kini berada pada detik luar biasa apabila tiga anggota Kabinet Israel secara terbuka mengutamakan tindakan menyalahi undang-undang, tanpa sedikit pun rasa bimbang terhadap undang-undang antarabangsa.

"Selain itu, terdapat cadangan untuk memutuskan hubungan antara Tebing Barat dan Gaza.

"Lingkungan tanpa kebertanggungjawaban adalah ancaman paling berbahaya kepada demokrasi.

"Di belakangnya pula wujud peranan teknologi yang tidak bertanggungjawab, iaitu idea bahawa perlumbaan senjata boleh digerakkan tanpa mengambil kira nilai kemanusiaan.

"Genosid yang sedang berlaku di Gaza tidak boleh dijadikan alasan untuk mengalih perhatian daripada isu politik yang lama terabai.

"Yang paling penting kini ialah penegasan semula secara global mengenai peranan Perhimpunan Agung PBB.

"Saya telah menjelaskan baru-baru ini bahawa dalam Piagam PBB terdapat mekanisme dipanggil Bab Tujuh, di mana jika sebahagian besar anggota Perhimpunan Agung menyokong, meskipun Majlis Keselamatan menggunakan veto untuk menghalang, setiausaha agung boleh menyeru pembentukan pasukan bagi menjamin akses kemanusiaan," katanya.

Pada Jumaat, Higgins turut mengecam kebuluran di Bandar Gaza, dengan menegaskan bahawa pengisytiharan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

-- BERNAMA




#Presiden Ireland #Michael D Higgins #konflik Gaza #IPC #PBB