[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

Presiden Itali Sergio Mattarella pulih selepas pemasangan perentak jantung

Bernama 16/04/2025 | 14:23 MYT
Pemimpin berusia 83 tahun itu menjalani pembedahan yang dirancang di Hospital Santo Spirito, Rom pada Isnin malam. - AP
ROM: Presiden Itali Sergio Mattarella dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani prosedur pemasangan perentak jantung, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut sumber terdekat, pemimpin berusia 83 tahun itu menjalani pembedahan yang dirancang di Hospital Santo Spirito, Rom pada Isnin malam.
Bagaimanapun, tempoh beliau akan dirawat di hospital masih belum diketahui.
Mattarella telah memegang jawatan presiden sejak Februari 2015, menjadikannya antara ketua negara paling lama berkhidmat di Eropah.
Beliau juga merupakan presiden paling lama berkhidmat di Itali sejak tamat Perang Dunia Kedua.
Mattarella dihormati merentas parti politik dan dilihat memiliki kewibawaan moral yang tinggi. Itali kini ditadbir oleh gabungan tiga parti berhaluan kanan dan konservatif sejak dua setengah tahun lepas.
Sebelum menjadi presiden, Mattarella yang berasal dari Sicily pernah berkhidmat sebagai anggota Dewan Perwakilan selama 25 tahun, mewakili Parti Kristian Demokrat sebelum menyertai Parti Demokrat Sosial.
Beliau pernah memegang jawatan Menteri Pendidikan pada 1989 dan 1990, serta Menteri Pertahanan dari 1999 hingga 2001.
-- BERNAMA
#Sergio Mattarella #presiden itali #kesihatan #perentak jantung