DUNIA

Presiden Mexico gesa kerjasama ketika AS ancam serang kartel dadah

Bernama 10/01/2026 | 13:15 MYT
Claudia Sheinbaum mengesahkan semula kesediaannya untuk bekerjasama lebih rapat dengan AS bagi menangani penyeludupan dadah. - Gambar fail
MEXICO CITY: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menyeru kerjasama lebih kukuh dengan Washington selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan beliau akan melancarkan serangan ke atas kartel di sepanjang sempadan selatan tidak lama lagi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu sidang media di negeri pesisir pantai Guerrero pada Jumaat, Sheinbaum mengesahkan semula kesediaannya untuk bekerjasama lebih rapat dengan AS bagi menangani penyeludupan dadah, susulan kenyataan Trump bahawa operasi diketuai tentera yang melibatkan serangan di wilayah Mexico akan dilaksanakan.

"Kami akan memperkukuh komunikasi, sebab itu saya meminta (Menteri Luar) Juan Ramon de la Fuente untuk bertemu dengan Setiausaha Negara (AS) ... tiga hari lalu, Setiausaha (Negara Marco) Rubio sendiri menyatakan mengenai penyelarasan yang baik; terdapat kumpulan kerja, jadi kami akan terus memperkukuh lagi hubungan, maklumat yang kami sampaikan ... ringkasnya, agar mereka mempunyai semua maklumat," kata Sheinbaum.

Beliau turut merujuk kerjasama berterusan antara Pengawal Kebangsaan dan Tentera Laut Mexico dengan Markas Pemerintahan Utara tentera AS, yang membawa kepada kejayaan besar dalam memerangi jenayah terancang dan penyeludupan dadah, termasuk rampasan kokain seberat 1.6 tan baru-baru ini.

Susulan operasi ketenteraan AS pada 3 Jan di Venezuela yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro, Trump berkata Mexico adalah sasaran seterusnya bagi serangan terhadap kartel dadah.

Menjawab soalan pemberita mengenai tindakan kerajaan Mexico sekiranya Trump enggan terlibat dalam dialog dan mula melancarkan serangan ketenteraan di tanah Mexico, Sheinbaum menolak untuk mempertimbangkan sebarang kemungkinan selain kerjasama.

"Kami tidak mahu memikirkan sebarang senario lain; sebaliknya, kami mahu terus bekerja dalam senario itu supaya penyelarasan dapat diperkukuh lagi dalam mempertahankan kedaulatan kedua-dua negara dan keutuhan wilayah Mexico," kata Sheinbaum.

-- BERNAMA

#Mexico #kartel dadah #Amerika Syarikat #Donald Trump #Claudia Sheinbaum