[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
DUNIA

Presiden Mexico seru reformasi imigresen komprehensif di AS

Bernama 11/06/2025 | 03:00 MYT
Sheinbaum menzahirkan penentangan terhadap tindakan penahanan dan pengusiran besar-besaran migran tanpa dokumen sah di Amerika Syarikat. - Gambar Reuters
MEXICO CITY: Masalah imigresen tidak dapat diselesaikan dengan serbuan atau keganasan, sebaliknya memerlukan "reformasi imigresen komprehensif" yang mengiktiraf peranan migran di Amerika Syarikat, terutamanya mereka yang telah menetap di sana selama bertahun-tahun, kata Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, pada Selasa.

Bercakap pada sidang media pagi hariannya, Sheinbaum menzahirkan penentangan terhadap tindakan penahanan dan pengusiran besar-besaran migran tanpa dokumen sah di Amerika Syarikat, lapor Xinhua.

Beliau berkata, ramai warga Mexico dan Amerika Latin lain telah menetap di Amerika Syarikat lebih sedekad dan sudah sebati dengan masyarakat di sana.

Malah, ekonomi Amerika Syarikat sendiri bergantung kepada penglibatan mereka dalam tenaga buruh.

Susulan protes di negeri California terhadap tindakan keras imigresen, Sheinbaum menyeru para penunjuk perasaan supaya bertenang dan tidak bertindak ganas.

"Seruan saya adalah untuk mengelakkan tindakan ganas dan saling menyokong seperti yang biasa kita lakukan.

"Pendekatan kami sentiasa untuk mempertahankan rakyat Mexico yang tinggal di Amerika Syarikat," katanya sambil mengulangi seruan "reformasi imigresen komprehensif" yang mengiktiraf sumbangan para migran yang telah lama menetap di negara itu.

Protes yang berterusan di pusat bandar Los Angeles sejak hujung minggu lalu tercetus susulan serbuan imigresen di California, dengan ratusan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan Pengawal Kebangsaan AS.

-- BERNAMA



#presiden Mexico #Claudia Sheinbaum #reformasi imigresen komprehensif #migran #Amerika Syarikat