Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Presiden Palestin keluar dekri tubuh jawatankuasa gubal perlembagaan interim, persediaan pilihan raya umum

Bernama 19/08/2025 | 04:20 MYT
Abbas mengambil langkah itu dalam konteks persiapan untuk mengadakan pilihan raya umum yang akan diadakan selepas berakhirnya serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza. - Gambar/ AP
RAMALLAH: Presiden Mahmoud Abbas pada Isnin malam mengeluarkan dekri presiden menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menggubal perlembagaan interim, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).


Ringkasan AI
  • Presiden Mahmoud Abbas menubuhkan jawatankuasa untuk menggubal perlembagaan interim sebagai persiapan pilihan raya umum selepas berakhirnya serangan Israel dan pengunduran tentera dari Gaza.
  • Jawatankuasa ini diberi mandat untuk merangka perlembagaan berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan resolusi PBB, dengan matlamat membentuk sistem pemerintahan demokratik Negara Palestin.
  • Dekri turut melantik ahli jawatankuasa daripada pelbagai latar belakang, menubuhkan jawatankuasa teknikal dan platform elektronik bagi menerima cadangan rakyat Palestin dalam dan luar negara.


Presiden Abbas mengambil langkah itu dalam konteks persiapan untuk mengadakan pilihan raya umum yang akan diadakan selepas berakhirnya serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza, pengunduran tentera pendudukan dari wilayah itu dan setelah Negara Palestin mengambil alih tanggungjawab di Semenanjung Gaza dalam proses peralihan ke arah pembentukan negara Palestin.

Menurut dekri itu, jawatankuasa berkenaan akan berfungsi sebagai pihak berkuasa perundangan yang diberi mandat untuk menggubal perlembagaan interim, selaras dengan Deklarasi Kemerdekaan, prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, konvensyen hak asasi manusia antarabangsa, dan triti-triti antarabangsa yang berkaitan.

Langkah itu bertujuan untuk meletakkan asas bagi penubuhan Negara Palestin dan institusinya melalui penyediaan draf perlembagaan yang mengabadikan prinsip perlembagaan bagi sistem pemerintahan demokratik berasaskan kedaulatan undang-undang, pengasingan kuasa, penghormatan dan perlindungan hak serta kebebasan awam, dan pertukaran kuasa secara aman.

Presiden Abbas turut mengeluarkan keputusan melantik pengerusi dan ahli jawatankuasa itu, yang terdiri daripada beberapa tokoh negara, politik dan masyarakat di samping pakar perundangan dan perlembagaan terkemuka, dengan mengambil kira perwakilan masyarakat sivil dan gender.

Dekri itu juga memperuntukkan penubuhan jawatankuasa kecil teknikal khusus mengikut bidang kerja masing-masing serta mengawal selia komposisi, fungsi dan mesyuaratnya mengikut undang-undang kecil dalaman.

Selain itu, dekri itu turut memperuntukkan penubuhan platform elektronik untuk menerima cadangan daripada semua lapisan masyarakat Palestin di wilayah Negara Palestin dan di luar negara bagi menghasilkan perlembagaan interim yang mewakili rakyat Palestin.

-- BERNAMA

#Palestin #Mahmoud Abbas #pilihan raya umum #kekejaman israel