Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Presiden Palestin keluarkan deklarasi perlembagaan mengenai pemindahan kuasa sementara

Bernama 27/10/2025 | 12:30 MYT
Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad mengeluarkan satu deklarasi perlembagaan baharu yang memperincikan prosedur bagi pemindahan kuasa presiden secara sementara sekiranya berlaku kekosongan jawatan. - Gambar fail/AP
RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad mengeluarkan satu deklarasi perlembagaan baharu yang memperincikan prosedur bagi pemindahan kuasa presiden secara sementara sekiranya berlaku kekosongan jawatan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).


Ringkasan AI
  • Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengeluarkan deklarasi baharu yang menetapkan prosedur pemindahan kuasa sementara jika berlaku kekosongan jawatan presiden.
  • Naib Presiden Jawatankuasa Eksekutif PLO akan mengambil alih sementara selama 90 hari sebelum pilihan raya diadakan.
  • Abbas berkata langkah itu bagi memastikan kestabilan, kelangsungan pemerintahan, dan pemindahan kuasa secara aman melalui pilihan raya bebas dan adil.


Menurut deklarasi itu, sekiranya jawatan Presiden Pihak Berkuasa Palestin menjadi kosong dan Majlis Perundangan Palestin masih tidak berfungsi, Naib Presiden Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), yang juga berkhidmat sebagai Naib Presiden Negara Palestin akan mengambil alih tugas Presiden untuk tempoh sehingga 90 hari.

Dalam tempoh itu, pilihan raya bebas dan langsung akan diadakan untuk memilih presiden baharu selaras dengan Undang-undang Pilihan Raya Palestin.

Sekiranya pilihan raya tidak dapat diadakan dalam tempoh itu kerana keadaan memaksa (force majeure), tempoh itu boleh dilanjutkan sekali melalui keputusan Majlis Pusat Palestin.

Deklarasi baharu ini membatalkan Deklarasi Perlembagaan No. 1 Tahun 2024 bagi melindungi kepentingan nasional rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan, Abbas berkata langkah diambil bertujuan "melindungi sistem politik Palestin, mempertahan tanah air, memastikan keselamatan dan memelihara institusi perlembagaan" sekiranya berlaku kekosongan kepimpinan.

Beliau menegaskan yang maruah negara mencerminkan maruah rakyatnya dan kebebasan, kedaulatan undang-undang, kesaksamaan, demokrasi, kepelbagaian serta keadilan sosial merupakan asas kepada mana-mana sistem pemerintahan yang sah.

"Berdasarkan perkara itu dan demi kepentingan nasional tertinggi untuk mengekalkan kestabilan, kami mengeluarkan deklarasi perlembagaan ini bagi menegaskan prinsip pemisahan kuasa dan pemindahan kuasa secara aman melalui pilihan raya yang bebas dan adil," kata Abbas.

--BERNAMA-WAFA



#Presiden Palestin Mahmoud Abbas #deklarasi Perlembagaan #pemindahan kuasa #pilihan raya