Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Presiden Perancis, Emmanuel Macron lantik semula Perdana Menteri yang letak jawatan Isnin lalu

Agensi 10/10/2025 | 23:40 MYT
Sebastien Lecornu dilantik semula sebagai Perdana Menteri Perancis hanya beberapa hari selepas menerima peletakan jawatan beliau pada Isnin susulan kejatuhan kerajaan baharunya. - Gambar fail Reuters
PARIS: Dalam langkah mengejutkan, Presiden Perancis Emmanuel Macron melantik semula Sebastien Lecornu
sebagai Perdana Menteri hanya beberapa hari selepas menerima peletakan jawatan beliau pada Isnin susulan kejatuhan kerajaan baharunya.

Istana Elysee dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan: “Presiden telah menamakan Sébastien Lecornu sebagai Perdana Menteri dan memberi mandat untuk membentuk kerajaan.”

Dalam satu hantaran di platform X, Lecornu berkata, kerajaan baharu yang bakal dibentuknya perlu menjadi titik noktah kepada kemelut politik yang kian menekan rakyat Perancis dan menjejaskan imej serta kepentingan negara itu.


Pelantikan semula Lecornu menutup minggu penuh drama politik di Paris.

Pada Ahad lalu, beliau mengumumkan barisan kabinet baharunya, namun disusuli kritikan terbuka daripada Menteri Dalam Negeri pada malam yang sama.

Keesokan paginya, Lecornu mengemukakan peletakan jawatan yang diterima Macron — sebelum Presiden itu kemudian mengubah pendirian dan meminta beliau memimpin rundingan mencari pengganti dalam tempoh 48 jam.

Namun, selepas rundingan pantas bersama parti pembangkang itu gagal menemui calon sesuai, Macron memilih jalan mudah – mengekalkan semula individu yang sama.

Keputusan itu segera mencetuskan kemarahan lawan politiknya.

Presiden parti sayap kanan jauh National Rally, Jordan Bardella menyifatkan tindakan Macron sebagai “gurauan tidak berasas, penghinaan demokrasi dan satu aib kepada rakyat Perancis.”

Tokoh kanan parti itu, Marine Le Pen, yang kini tidak memegang jawatan rasmi sementara menunggu rayuan kes pembiayaan kempen, turut mendesak pengundian segera bagi menolak kerajaan baharu Lecornu serta mengadakan pilihan raya baharu.

Di kem sayap kiri pula, pemimpin parti France Unbowed, Jean-Luc Mélenchon, menyindir pelantikan itu dengan kenyataan sinis: “Macron hanya tahu menjadi Macron.”

Komitmen baharu, tanpa cita-cita Presiden 2027

Kegagalan membentuk kabinet dan meluluskan bajet negara telah menimbulkan perbandingan tidak menyenangkan terhadap Perancis, yang kini dilihat seolah-olah mengalami ketidakstabilan politik seperti Itali.

Dalam usaha menenangkan keadaan, Lecornu dilapor bersetuju agar isu-isu yang dibangkitkan sepanjang rundingan bersama parti-parti politik akan dibahaskan secara terbuka di Parlimen.

Langkah itu dilihat sebagai kompromi terhadap pendekatan Macron sebelum ini, yang beberapa kali memaksa rang undang-undang diluluskan tanpa undian di Dewan Nasional.

Namun Lecornu mengejutkan ramai apabila menegaskan syarat baharu bagi penyertaan dalam kabinetnya.

“Semua cita-cita adalah wajar dan berguna, namun sesiapa yang menyertai kerajaan mesti komited untuk tidak mempunyai sebarang hasrat bertanding jawatan Presiden pada 2027,” katanya dalam hantaran di X.

Syarat itu secara tidak langsung menyingkirkan beberapa tokoh berprofil tinggi termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau yang dijangka bertanding pada 2027.

Pemimpin parti sayap kiri dan kanan juga dijangka tidak akan dipertimbangkan, termasuk Le Pen sekiranya rayuannya berjaya, kerana mereka dijangka menentang calon pengganti Macron daripada blok tengah.

Walaupun belum mendedahkan barisan kabinet baharu, pertemuan terakhir Lecornu bersama Macron pada Jumaat diadakan dengan wakil parti blok tengah serta gabungan tradisional kiri dan kanan – tanpa penyertaan sayap kiri jauh dan sayap kanan jauh.

Lecornu sebelum ini dikritik hebat kerana barisan kabinet yang diumumkannya Ahad lalu dianggap tidak membawa pembaharuan, malah dipenuhi sekutu lama Macron lebih daripada kabinet pertama Presiden itu pada 2017.

Selepas hampir sebulan membentuk kabinet yang hanya bertahan sekejap, rakyat Perancis kini menunggu sama ada percubaan kedua Lecornu akan membawa perubahan sebenar – atau sekadar mengulang sejarah yang sama. - Agensi



#Emmanuel Macron #Perdana Menteri Perancis #Sebastien Lecornu #letak jawatan