[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Presiden Trump terima jemputan Presiden Xi Jinping lawat China April 2026

Astro Awani 24/11/2025 | 22:10 MYT
Dalam perbualan tersebut, mereka membincangkan beberapa isu dua hala dan geopolitik termasuk pembelian kacang soya AS oleh China yang masih hambar, selain situasi di Ukraine dan Taiwan. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan beliau akan melakukan lawatan ke Beijing pada April depan selepas menerima jemputan daripada Presiden China, Xi Jinping.


Ringkasan AI
  • Presiden AS, Donald Trump akan lawat Beijing pada April berikutan jemputan daripada Presiden China, Xi Jinping selepas panggilan telefon semasa membincangkan isu dua hala dan geopolitik termasuk pembelian kacang soya AS oleh China yang masih kurang, serta situasi di Ukraine dan Taiwan.
  • Pertemuan di Korea Selatan antara kedua pemimpin sebelum ini melihat gencatan dagangan selama setahun dilaksanakan, namun pegawai AS berhati-hati terhadap kesesuaian pelaksanaan janji termasuk pembelian mineral nadir bumi dari China dan kacang soya AS.
  • China membeli hanya sekitar 1.5 juta tan metrik kacang soya AS daripada sasaran 12 juta tan menjelang tahun berakhir, menimbulkan keraguan terhadap kesinambungan komitmen, sementara pentadbiran Trump menimbang dasar eksport teknologi kecerdasan buatan ke China sebagai ancaman keselamatan negara.


Jemputan itu disampaikan ketika kedua-dua pemimpin mengadakan panggilan telefon pada pagi Isnin.

Dalam perbualan tersebut, mereka membincangkan beberapa isu dua hala dan geopolitik termasuk pembelian kacang soya AS oleh China yang masih hambar, selain situasi di Ukraine dan Taiwan.

Panggilan itu berlangsung beberapa minggu selepas pertemuan mereka di Korea Selatan, yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan dagangan selama setahun, sekali gus menarik balik sebahagian besar tarif yang dikenakan sebelum ini.

Menerusi hantaran di media sosial, Trump menyifatkan panggilan itu sebagai “sangat baik” dan menyentuh isu Ukraine, eksport bahan kimia dari China untuk menghasilkan fentanyl, serta pembelian produk pertanian.

Beliau menyifatkan ia sebagai susulan kepada “pertemuan yang sangat berjaya di Korea Selatan” dan menegaskan terdapat kemajuan ketara dalam memenuhi komitmen kedua-dua pihak.

“Sekarang kita boleh fokus kepada perkara yang lebih besar,” kata Trump.

“Presiden Xi menjemput saya ke Beijing pada April dan saya telah menerima jemputan itu. Saya juga menjemput beliau untuk melakukan lawatan negara ke Amerika Syarikat pada akhir tahun ini.”

Media rasmi China melaporkan, kedua-dua pemimpin turut membincangkan situasi di Ukraine selain menyeru agar momentum positif hubungan dua hala sejak pertemuan di Korea Selatan dikekalkan.

Jinping juga menegaskan pendirian prinsip China berhubung Taiwan, yang dianggap sebagai sebahagian daripada susunan antarabangsa selepas perang.

Trump sebelum ini menyatakan isu Taiwan tidak dibincangkan ketika pertemuan di Korea Selatan.

Walaupun kedua-dua negara menyambut baik gencatan dagangan, pegawai AS dilihat berhati-hati sama ada semua janji yang dibuat akan ditunaikan.

Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata, kedua-dua pihak masih merundingkan butiran perjanjian bagi menjamin bekalan mineral nadir bumi dari China, yang penting untuk industri automotif dan teknologi.

Selain itu, isu pembelian kacang soya AS oleh China juga menjadi perhatian.

China menghentikan pembelian tahun ini ketika ketegangan perdagangan memuncak.

Selepas pertemuan di Korea Selatan, pentadbiran Trump mendakwa, China bersetuju menyambung semula pembelian, namun Beijing tidak pernah mengesahkan secara terperinci.

Setakat ini, China membeli sekitar 1.5 juta tan metrik sejak 1 Oktober, jauh daripada sasaran 12 juta tan menjelang akhir tahun.

“Kita masih jauh lagi,” kata Setiausaha Pertanian, Brooke Rollins, sambil menegaskan komitmen China kekal.

Beliau menjelaskan, terma perjanjian masih belum dimuktamadkan dan pesanan perlu dibuat sebelum akhir tahun, walaupun penghantaran boleh dilakukan kemudian.

Dalam masa sama, pentadbiran Trump turut menimbang dasar eksport teknologi kecerdasan buatan (AI) ke China.

Ada pihak industri mahu menjual produk lebih canggih bagi mengelak China membangunkan alternatif sendiri, namun sebahagian pegawai Washington melihat langkah itu sebagai ancaman keselamatan negara.

Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick berkata, keputusan sama ada menjual cip H200 keluaran Nvidia kini berada di meja Trump.

“Beliau akan menilai keputusan itu,” kata Lutnick.

“Trump memahami Xi dengan baik dan akan tentukan sama ada kita teruskan atau tidak.” - Agensi







#Donald Trump #Xi Jinping #Amerika Syarikat-China #Trumpe ke Beijing