Presiden Turkiye akan hubungi pemimpin Rusia bincang mengenai Ukraine

Erdogan (kiri) berharap rundingan berhubung koridor bijirin dengan Putin dapat membuka laluan ke arah perdamaian Rusia-Ukraine.
ISTANBUL: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Ahad berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin, pada Isnin untuk membincangkan usaha menghidupkan semula koridor bijirin Laut Hitam, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada media di luar sidang kemuncak pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg, Afrika Selatan, Erdogan berkata: "Usaha kami berhubung koridor bijirin sebenarnya bertujuan membuka laluan ke arah perdamaian."
"Saya percaya jika kita dapat menggerakkan proses ini, ia akan membawa manfaat yang besar," tambahnya.
Ankara mula mengatur rundingan Rusia-Ukraine pada 2022 dan kemudiannya menjadi perantara perjanjian bijirin Laut Hitam untuk memudahkan eksport bijirin dan baja dari pelabuhan Ukraine ketika perang.
Rusia menggantung penyertaannya pada Julai 2023.
Mengenai konflik Sudan, presiden Turkiye itu berkata rakyat Sudan mahu Ankara memainkan peranan dalam menyelesaikan isu itu, sambil berikrar: "Di mana sahaja ada masalah, kami akan berada di situ."
"Sama ada di Teluk, Sudan atau Somalia, kami menjadi sebahagian daripada usaha ini; mulai sekarang, kami akan terus bergegas ke mana-mana demi keamanan," kata Erdogan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


