Presiden Turkiye akan runding dengan pemimpin Rusia, Ukraine tamatkan konflik

Bernama
Disember 9, 2022 20:20 MYT
Erdogan berkata Turkiye mahu mengukuhkan lagi perjanjian koridor bijirin yang diusahakan Turkiye pada musim panas selepas kesepakatan itu terhenti pada Februari disebabkan perang Rusia terhadap Ukraine. - Gambar/ AP
ANKARA: Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pada Jumaat, Turkiye meneruskan usahanya untuk menyelesaikan konflik Rusia-Ukraine dan akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari kedua-dua negara dalam masa terdekat.
"Bagi menamatkan krisis ini, saya akan mengadakan perbincangan dengan (Presiden Rusia Vladimir) Putin pada Ahad dan dengan (Presiden Ukraine Volodymyr) Zelenskyy," kata Erdogan pada Forum Dunia TRT di Istanbul, lapor Agensi Anadolu ( AA).
Erdogan berkata Turkiye mahu mengukuhkan lagi perjanjian koridor bijirin yang diusahakan Turkiye pada musim panas selepas kesepakatan itu terhenti pada Februari disebabkan perang Rusia terhadap Ukraine.
Pada 22 Julai, Turkiye, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian penting di Istanbul untuk menyambung semula eksport bijirin dari tiga pelabuhan Laut Hitam Ukraine.
Perjanjian itu dilanjutkan selama 120 hari lagi bermula 19 Nov, beberapa hari sebelum tempoh yang dijadualkan tamat.
Sejak awal krisis, Erdogan berkata Turkiye menjalankan diplomasi mendalam berasaskan prinsip tidak akan ada pemenang dan telah mempelopori diplomasi keamanan yang akan menjadi contoh kepada dunia.
Forum Dunia TRT 2022, acara tahunan dua hari itu bermula di Istanbul pada Jumaat, anjuran bandan penyiar kebangsaan Turki TRT.
Perhimpunan bertemakan "Memetakan Masa Depan: Ketidakpastian, Realiti dan Peluang" itu, menghimpunkan ahli akademik, wartawan, intelektual, ahli politik dan ahli masyarakat sivil dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
#presiden turkiye #Recep Tayyip Erdogan #Rusia #Ukraine