DUNIA

Presiden Universiti Virginia letak jawatan selepas ditekan pentadbiran Trump

Agensi 28/06/2025 | 00:45 MYT
Keputusan Ryan meletak jawatan dibuat bagi melindungi Universiti Virginia daripada risiko tindakan kerajaan Persekutuan. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Presiden Universiti Virginia, James Ryan, meletakkan jawatan selepas berdepan tekanan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang menyasarkan dasar kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) di institusi pengajian tinggi itu.
Dalam e-mel kepada komuniti universiti pada Jumaat yang turut tular di media sosial, Ryan berkata, keputusannya untuk meletak jawatan dibuat bagi melindungi institusi itu daripada risiko tindakan kerajaan Persekutuan.
“Saya tidak boleh membuat keputusan bersendirian untuk menentang kerajaan Persekutuan demi mempertahankan jawatan saya,” katanya.
“Melakukannya bukan sahaja kelihatan seperti tindakan mementingkan diri, malah akan mengorbankan ratusan kakitangan yang mungkin kehilangan pekerjaan, penyelidik yang bakal kehilangan dana, serta pelajar yang boleh kehilangan bantuan kewangan atau ditolak visa mereka,” tulis beliau.
Menurut laporan The New York Times yang pertama kali mendedahkan berita itu, Lembaga Universiti Virginia telah menerima peletakan jawatan Ryan.
Bagaimanapun, tarikh sebenar pengundurannya masih belum diumumkan.
Pengunduran itu merupakan perkembangan terbaharu yang mencerminkan ketegangan berpanjangan antara komuniti akademik dan pentadbiran Presiden Donald Trump dalam penggal keduanya.
Sepanjang penggal ini, Trump meningkatkan tekanan terhadap institusi pengajian tinggi, termasuk menyerang inisiatif DEI, menyekat protes pelajar pro-Palestin, serta mengkaji semula amalan pengambilan kakitangan dan pelajar.
Tindakan luar jangka terhadap universiti awam
Peletakan jawatan Ryan juga menandakan peluasan tindakan kerajaan ke atas universiti awam, setelah fokus utama sebelum ini tertumpu kepada institusi elit seperti Harvard.
Sehari sebelum itu, Jabatan Kehakiman mengumumkan siasatan ke atas Universiti California berhubung pelaksanaan dasar DEI.
Ryan, yang menerajui Universiti Virginia sejak 2018, dikritik kerana didakwa gagal mematuhi arahan kerajaan Persekutuan untuk menghentikan semua bentuk dasar DEI di kampus.
Sumber yang enggan dikenali memberitahu agensi Associated Press bahawa pengunduran Ryan adalah hasil tekanan langsung Jabatan Kehakiman sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap universiti itu.
Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Amerika, Ted Mitchell menyifatkan tindakan itu sebagai contoh kerajaan menggunakan "intimidasi menggantikan dialog rasional."
“Hari ini adalah hari yang gelap buat Universiti Virginia dan pendidikan tinggi Amerika secara keseluruhan,” kata Mitchell. “Jelas sekali pentadbiran ini belum selesai dan akan terus menggunakan apa jua alat yang ada – atau cipta sendiri – untuk memaksakan kehendaknya ke atas institusi pendidikan.”
Reaksi pemimpin politik Virginia
Dalam kenyataan bersama, dua senator Demokrat dari Virginia, Mark Warner dan Tim Kaine mengecam tekanan terhadap Ryan dan menyifatkannya sebagai “perang budaya” yang menjejaskan masa depan negeri itu.
Trump sebelum ini berkempen dengan janji untuk menamatkan apa yang disifatkannya sebagai pengaruh "woke" dalam pendidikan, dan pada Januari lalu menandatangani satu perintah eksekutif untuk menamatkan dana persekutuan kepada institusi pendidikan yang menjalankan program DEI.
Pentadbiran Trump mendakwa, dasar DEI mendiskriminasi pelajar kulit putih dan Asia-Amerika, dan sejak itu memulakan siasatan ke atas puluhan kolej.
Sebahagian institusi telah akur dengan menutup pejabat DEI, menamatkan biasiswa berkaitan dan tidak lagi mewajibkan kenyataan DEI dalam pengambilan kakitangan.
Namun, terdapat juga universiti yang masih mempertahankan dasar tersebut.
Universiti Virginia menjadi tumpuan selepas dikritik kerana didakwa hanya "menamakan semula" dan "menyusun semula" dasar DEI mereka.
Pada Mac lalu, lembaga pengurusan universiti mengundi untuk menutup pejabat DEI dan menamatkan dasar berkaitan dalam pengambilan pelajar, pemberian bantuan kewangan dan pemilihan staf.
Gabenor Virginia, Glenn Youngkin dari Parti Republikan menyambut keputusan itu dan menyatakan bahawa “DEI telah berakhir di Universiti Virginia.”
Namun, kumpulan konservatif America First Legal yang diasaskan oleh bekas penasihat Trump, Stephen Miller, mendakwa usaha universiti itu hanyalah kosmetik dan mengekalkan struktur dasar yang sama di bawah istilah baharu.
Dalam surat kepada Jabatan Kehakiman pada Mei lalu, kumpulan itu menyasarkan Ryan secara langsung kerana menandatangani kenyataan bersama ratusan presiden universiti lain yang mengecam campur tangan politik oleh kerajaan.
Dalam kenyataan susulan pada Jumaat, kumpulan itu berkata mereka akan terus menggunakan segala saluran undang-undang untuk membanteras dasar yang dianggap “diskriminatif”.
“Perkembangan minggu ini membuktikan bahawa universiti awam yang menerima dana kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar Perlembagaan,” kata Megan Redshaw, peguam kanan kumpulan itu.
“Institusi ini tidak boleh memaksa kesetiaan ideologi, tidak boleh mengenakan keutamaan berdasarkan kaum dan jantina, atau mencabar kuasa sah eksekutif.”
Ketika Harvard yang memiliki dana amanah melebihi AS$53 bilion masih mampu bertahan, universiti awam seperti Universiti Virginia yang mempunyai dana sekitar AS$10 bilion dilihat lebih terdedah kepada tekanan kerajaan. - Agensi
#Presiden Universiti Virginia #letak jawatan #tekanan pentadbiran Trump #ketegangan komuniti akademik