BEIJING: Tiga orang maut manakala 265 lagi masih hilang selepas gelongsoran lumpur melanda pintu masuk sempadan Gyirong di Wilayah Xizang, barat daya China pada pagi Rabu, sekali gus mendorong Presiden China, Xi Jinping mengarahkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan secara habis-habisan, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Xi menggesa usaha dibuat bagi memindahkan penduduk yang berisiko dan memberikan rawatan perubatan segera kepada mangsa yang cedera bagi meminimumkan angka korban.
Beliau mengeluarkan arahan itu selepas gelongsoran lumpur melanda pintu masuk sempadan berkenaan di Kaunti Gyirong, mengakibatkan kematian dan kecederaan serta kerosakan teruk.
Pihak berkuasa masih mengesahkan angka korban.
Naib Perdana Menteri, Zhang Guoqing mengetuai pegawai daripada jabatan berkaitan ke lokasi bagi menyelia operasi menyelamat dan tindak balas bencana, manakala pihak berkuasa di Xizang telah mengerahkan pasukan untuk menjalankan operasi SAR, dengan semua operasi berkaitan sedang giat dijalankan.
-- BERNAMA-XINHUA