BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menyampaikan ucapan sempena Tahun Baharu Cina 2022 dan menzahirkan kebaikan kepada rakyat pelbagai etnik di China dan di Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Hong Kong, SAR Makau dan Taiwan serta masyarakat Cina di seberang laut.

Perutusan tersebut disampaikan presiden Xi pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Besar Rakyat, Beijing pada Ahad lalu.

Xi menegaskan bahawa segala kejayaan dalam tempoh seratus tahun lalu berjaya direalisasikan dengan semangat perpaduan dan usaha gigih.

"Sekarang, rakyat pelbagai etnik China sedang berusaha menuju ke matlamat seratus tahun yang kedua," tambah Xi.

Menurut beliau, pada separuh tahun kedua 2022, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) akan merangkumkan kerja pada lima tahun lalu, seterusnya menggariskan hala tuju bagi perkembangan fasa selanjutnya.

"China akan menyelaraskan pembangunan dengan keselamatan, mengintensifkan pembaharuan dan keterbukaan, menggalakkan pembangunan yang berkualiti tinggi, mengekalkan iklim ekonomi yang stabil dan sihat," jelas Xi.

Dalam pada itu, menjelang majlis perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Paralimpik Musim Sejuk 2022, beliau berkata China juga telah bersedia untuk menyediakan temasya sukan yang sederhana, selamat dan menarik kepada rakyat seluruh dunia.

-- BERNAMA