Presiden Yoon gesa perkukuh usaha banteras pembiayaan haram program nuklear, perluru berpandu Korea Utara

Bernama
Mei 30, 2023 03:01 MYT
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Selasa menggesa perkukuhkan kerjasama untuk membanteras pembiayaan haram oleh Korea Utara bagi memajukan program nuklear dan peluru berpandunya. - Gambar BERNAMA
SEOGWIPO (Korea Selatan): Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Selasa menggesa perkukuhkan kerjasama untuk membanteras pembiayaan haram oleh Korea Utara bagi memajukan program nuklear dan peluru berpandunya.
Yoon membuat kenyataan itu pada forum Inisiatif Keselamatan Proliferasi (PSI) yang bertujuan untuk menentang penyeludupan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), di Pulau Jeju, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Walaupun sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Korea Utara terus membiayai program nuklear dan peluru berpandunya secara haram," kata Yoon menerusi mesej video di forum itu.
Yoon juga menegaskan bahawa percambahan WMD boleh menimbulkan "ancaman serius" kepada keamanan antarabangsa.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, komitmen untuk mencegah, menentang dan menamatkan penyebaran WMD amat ketara diperlukan ketika ini berbanding sebelum ini.
"Di seluruh dunia, semakin banyak negara terus mencabar acuan keselamatan global yang memantau dan menguatkuasakan norma terhadap penyebaran senjata pemusnah besar-besaran," katanya dalam perutusan yang disampaikan oleh setiausaha negara bagi kawalan senjata dan antarabangsa keselamatan di Jabatan Negara AS, Bonnie Jenkins, di forum itu.
Biden turut menggesa negara-negara yang mengambil bahagian untuk bersama-sama komited kerana tiada negara yang boleh bertindak sendirian untuk menangani cabaran ini.
PSI dilancarkan pada tahun 2003 di bawah pentadbiran George W. Bush dan mengadakan mesyuarat setiap lima tahun.
Mesyuarat tahun ini menandakan kali pertama sebuah negara Asia menjadi tuan rumah.
Perwakilan dari lebih 70 negara akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu, termasuk AS, Jepun dan Australia. - BERNAMA
#Korea Utara #Korea Selatan #program nuklear #peluru berpandu