BEIJING: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pertama yang bakal digunakan untuk laluan Jakarta-Bandung, Indonesia kini berada di fasa akhir pembinaan.

Pembinaan projek itu dilaksanakan oleh syarikat Qingdao milik Kumpulan Zhongche China (CRRC).

Projek itu menggunakan gerabak HSR buatan China yang pertama kali dieksport ke luar China dan ia mampu beroperasi dengan kelajuan sehingga 350 kilometer sejam.

HSR Jakarta-Bandung dibina menggunakan teknologi HSR Fuxing China, yang terkenal kerana mempunyai kelajuan paling tinggi di dunia.

Untuk memastikan kereta api itu mampu beroperasi dengan lancar, pembinaannya turut mengambil kira keadaan kawasan di Indonesia.

Projek itu adalah satu daripada program di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan kerjasama substantif China-Indonesia.

Ia juga merupakan 'surat tempahan' asing pertama yang ditangani China, melibatkan seluruh sistem pengendalian HSR buatan China dan rantaian industri perkilangan yang lengkap.

Untuk rekod, Konsortium Kontraktor HSR yang ditubuhkan oleh Syarikat Kereta Api Antarabangsa China (CRI) menandatangani kontrak EPC dengan Syarikat Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) pada 4 April 2017, manakala projek bermula secara menyeluruh pada 9 Jun 2018.

Sebanyak 13 terowong sepanjang laluan HSR Jakarta-Bandung telah siap sepenuhnya pada 21 Jun 2022, dan pembinaan landasan kereta api menggunakan balast (batu kelikir) pula siap dibina pada 1 Julai.

Sebagai HSR yang pertama di rantau Asia Tenggara dan projek penting di bawah kerangka inisiatif BRI, masa perjalanan untuk perjalanan kira-kira 142 kilometer antara Jakarta dengan Bandung dijangka dapat berkurangan kepada 40 minit berbanding tiga jam. - BERNAMA


PROJEK PEMBINAAN HSR PERTAMA JAKARTA-BANDUNG KINI DI FASA AKHIR

Projek pembinaan HSR pertama Jakarta-Bandung kini di fasa akhir