DUNIA

Proses kenal pasti mangsa kebakaran di pusat peranginan Switzerland mungkin ambil masa

Bernama 02/01/2026 | 10:30 MYT
Menteri Luar Itali Antonio Tajani memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 47 orang maut dan 112 cedera, sambil menambah proses identifikasi mangsa "amat kompleks". - Foto AP
BRUSSELS: Pihak berkuasa Switzerland memaklumkan pada Jumaat bahawa proses mengenal pasti mangsa kebakaran maut di sebuah bar yang sesak ketika sambutan Ambang Tahun Baharu di pusat peranginan ski Crans-Montana mungkin mengambil masa beberapa hari, lapor Agensi Anadolu.

Setakat ini, puluhan keluarga masih mencari orang tersayang yang hilang, manakala ramai mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Ahli Majlis Negeri Valais yang bertanggungjawab bagi keselamatan Stephane Ganzer memberitahu pemberita bahawa "proses mengenal pasti mayat mangsa mungkin mengambil masa beberapa hari atau lebih lama" memandangkan tahap kecederaan lecur yang teruk, lapor akhbar harian Switzerland berbahasa Perancis, Le Temps.

Kebakaran di bar resort ski, puluhan dikhuatiri maut


Duta Itali ke Switzerland Gian Lorenzo Cornado turut mengesahkan mayat mangsa "tidak dapat dikenal pasti berikutan kesan lecur yang amat teruk," menurut agensi berita Itali, ANSA.

Polis Daerah Valais setakat ini melaporkan kira-kira 40 orang maut manakala 115 lagi cedera, dengan sebahagian besarnya parah. Pihak polis menegaskan angka itu adalah sementara memandangkan proses pengecaman masih berjalan.

Menteri Luar Itali Antonio Tajani memberitahu media Itali bahawa sekurang-kurangnya 47 orang maut dan 112 cedera, sambil menambah proses identifikasi mangsa "amat kompleks". Menurut pihak berkuasa Itali, enam rakyatnya dilaporkan hilang manakala 13 lagi sedang dirawat di hospital.

Presiden Kerajaan Valais Matthias Reynard memberitahu akhbar tempatan Walliser Bote bahawa sekurang-kurangnya 80 daripada mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal.

Penyiar Switzerland RTS melaporkan Hospital Universiti Lausanne sedang merawat kira-kira 13 individu dewasa dan lapan kanak-kanak, yang kesemuanya mengalami kecederaan lecur melebihi 60 peratus pada permukaan badan.

Hospital-hospital di Switzerland kini berdepan tekanan hebat susulan kemasukan pesakit yang ramai. Menteri Kesihatan Perancis Stephanie Rist mengumumkan negara itu telah menyediakan 19 katil untuk mangsa lecur bagi menyokong perkhidmatan perubatan Switzerland.

Beberapa negara lain termasuk Sweden dan Macedonia Utara turut menawarkan bantuan. Mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital di Milan, Paris dan Lyon.

Pihak berkuasa Daerah Valais telah membuka siasatan jenayah berhubung insiden itu. Peguam Negara Beatrice Pilloud berkata hipotesis utama adalah "kebakaran menyeluruh yang menyebabkan letupan," sambil menegaskan penyiasat akan menilai pematuhan piawaian keselamatan dan menolak sebarang unsur keganasan.

Keterangan saksi dan imej yang tular di media sosial menunjukkan kebakaran mungkin berpunca daripada bunga api yang dipasang pada botol minuman keras di dalam bar berkenaan.

Pakar kebakaran memberitahu BBC wujud kemungkinan fenomena lampau kilat berlaku, iaitu keadaan di mana haba menyalakan semua bahan mudah terbakar dalam ruang tertutup dalam masa beberapa saat sahaja.

Kebakaran berlaku sejurus selepas tengah malam, mencetuskan tindak balas kecemasan besar-besaran melibatkan puluhan ambulans serta helikopter, dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital Switzerland dan luar negara, termasuk unit khas lecur.

Pada lewat petang Khamis, ratusan orang berkumpul dalam suasana hiba di luar bar Constellation yang musnah terbakar untuk memberi penghormatan kepada mangsa dengan meletakkan lilin dan bunga.

-- BERNAMA








#kebakaran bar #Switzerland #pusat peranginan ski #kenal pasti mangsa