Skip to main content

Dunia

Protes ganas pelajar merebak di Albania, masuk hari ketiga

Pelajar membantah keadaan pembelajaran yang tidak memuaskan, kos pendidikan yang tinggi dan kekurangan prospek kerjaya. - AP
Pelajar membantah keadaan pembelajaran yang tidak memuaskan, kos pendidikan yang tinggi dan kekurangan prospek kerjaya. - AP

Advertisement

BUDAPEST: Protes ganas pelajar terhadap keadaan universiti yang tidak memuaskan dan kerajaan merebak di seluruh Albania pada Khamis, menandakan hari ketiga berturut-turut pergolakan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Parlimen menangguhkan persidangan hingga minggu depan berikutan demonstrasi itu, manakala Perdana Menteri Edi Rama menyalahkan pembangkang atas kekacauan berkenaan dengan menuduh mereka cuba menggagalkan usaha Albania menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Pembangkang cuba mengheret Albania kembali ke kancah kehancuran menggunakan “api dan besi”, kata pemimpin Parti Sosialis itu, menurut media tempatan.

Di ibu negara Tirana, polis menggunakan gas pemedih mata selepas penunjuk perasaan sekali lagi cuba menceroboh Kementerian Pendidikan, selepas membakar kawasan di kementerian itu sehari sebelumnya. Pejabat kerajaan lain turut diserang.

Di bandar Korca, penunjuk perasaan membaling batu dan bom Molotov ke arah sekolah, menurut laporan media. Demonstrasi lain turut berlangsung di Durres dan Lushnja.

Hampir 100 anggota polis cedera dan lebih 100 individu yang disyaki terbabit dalam rusuhan ditahan di Tirana sepanjang dua hari sebelumnya.

Pelajar membantah keadaan pembelajaran yang tidak memuaskan, kos pendidikan yang tinggi dan kekurangan prospek kerjaya. Mereka turut menuntut peletakan jawatan Rama yang mentadbir Albania sejak 2013.

Kemarahan orang ramai terhadap Rama semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk berhubung projek hartanah mewah yang disokong kerajaan di kawasan perlindungan pesisir Adriatik yang dikaitkan dengan Jared Kushner, menantu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Demonstrasi harian membantah projek itu dikenali sebagai “Revolusi Flamingo”, merujuk kepada burung flamingo yang mendiami kawasan perlindungan berkenaan.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement