DUNIA

Protes Gen Z di Nepal: Parlimen diserbu, hotel mewah dan golongan elit jadi sasaran

Agensi 11/09/2025 | 23:40 MYT
Asap tebal kelihatan dari beberapa bangunan kementerian dan pejabat selepas dibakar ketika bantahan terhadap larangan media sosial dan isu rasuah di Kathmandu, Nepal, pada Selasa lepas. - Gambar AP
KATHMANDU: Gelombang protes besar-besaran di Nepal yang digerakkan anak muda dikenali sebagai Gerakan Gen Z menyaksikan Parlimen diserbu, hotel mewah dibakar dan kediaman pemimpin politik menjadi sasaran kemarahan rakyat terhadap gaya hidup elit di salah sebuah negara termiskin dunia.

Tekanan daripada demonstrasi itu memaksa Perdana Menteri, KP Sharma Oli meletakkan jawatan pada Selasa (9 Sept), sehari selepas 19 penunjuk perasaan terbunuh.

Menurut Kementerian Kesihatan Nepal, angka korban kini meningkat kepada 34 orang dengan lebih 1,300 lagi cedera.

Walaupun penganjur protes menjarakkan diri daripada serangan membakar hotel dan bangunan kerajaan, penganalisis melihat ia berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap jurang kekayaan serta persepsi rasuah dalam kepimpinan politik Nepal.

Ketika bangunan Parlimen, pejabat Perdana Menteri dan Mahkamah Agung masih marak terbakar, penyerang turut menyasarkan hotel lima bintang termasuk Hilton, Hyatt Regency dan Varnabas Museum Hotel.

Hyatt Regency yang terletak berhampiran tapak suci Boudhanath Stupa mengalami kerosakan, namun tiada tetamu atau kakitangan cedera.

Pihak pengurusan memaklumkan hotel itu ditutup sehingga diberitahu kelak.

Hilton Kathmandu yang baru dibuka tahun lalu oleh konglomerat Shanker Group, turut dibakar sehingga mengeluarkan asap hitam tebal.

Menurut jurucakap Hilton, semua tetamu dan kakitangan berjaya dipindahkan dengan selamat.

Selain itu, beberapa kediaman ahli politik termasuk milik Oli turut diserang.

Gerakan Gen Z yang tercetus di media sosial seperti TikTok dan Instagram mendedahkan gaya hidup mewah anak-anak pemimpin, termasuk pakaian berjenama serta percutian mahal.

Sementara itu, ribuan belia Nepal setiap hari meninggalkan tanah air untuk mencari rezeki di Asia Barat, Malaysia, Korea Selatan dan negara lain.

“Itu adalah luahan kekecewaan rakyat,” kata Balaram KC, bekas hakim Mahkamah Agung Nepal.

“Mereka yang sepatutnya mengurus negara secara jujur hanya menjaga kepentingan diri dan keluarga.”

Ahli Parlimen Parti Kongres Nepal, Rajendra Bajgain, mengesahkan hotel mewah miliknya, Varnabas Museum, turut dibakar.

Beliau yang mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan, dalam masa sama menyatakan rasa simpati dengan tuntutan anak muda.

“Rasa tidak puas hati terhadap korupsi sudah lama membara di Nepal,” katanya. - Agensi



#protes Nepal #protes Gen Z #Parlimen Nepal diserbu #hotel mewah dibakar