BOGOTA (Colombia): Peru mengisytiharkan darurat selama 30 hari di seluruh negara ekoran protes yang kian memuncak menyaksikan tujuh orang terkorban selepas Kongres menyingkirkan bekas Presiden Pedro Castillo minggu lalu.

"Darurat telah diisytiharkan di seluruh negara disebabkan perbuatan vandalisme dan keganasan...," kata Menteri Pertahanan Alberto Otarola pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.

Kerajaan juga sedang meneliti sama ada akan mengisytiharkan perintah berkurung atau sebaliknya.

Castillo telah didakwa dan ditahan minggu lalu selepas percubaannya membubarkan parlimen dan penyingkiran beliau telah mencetuskan protes.

Penunjuk perasaan telah menyekat jalan dan mengganggu lalu lintas di sepanjang Lebuh Raya Pan-Amerika selatan yang menghubungkan Peru dan Chile.

Tentera telah dikerahkan untuk melindungi tempat awam di seluruh negara, kata Otarola.

Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 47 orang telah dimasukkan ke hospital akibat protes yang berlaku di Lima, Apurimac, Huancavelica dan Arequipa.

Penyokong Castillo menuntut beliau dibebaskan dan pilihan raya baharu diadakan. Minggu lalu, seorang hakim mengarahkan Castillo ditahan selama tujuh hari tetapi pendakwa raya pada Selasa memfailkan permohonan untuk menahannya selama 18 bulan atas tuduhan memberontak dan konspirasi.

Dalam surat yang dimuat naik di Twitter, Castillo menyeru penyokongnya berkumpul di pusat tahanan di Lima tempat beliau dia ditahan.

Castillo menyifatkan apa yang berlaku sebagai "rampasan kuasa" dan menuduh Peguam Negara Patricia Benavides sebagai dalangnya.

Meskipun, Presiden baharu Dina Boluarte mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya pada April 2024 dan bukannya April 2026, beliau gagal meredakan ketegangan yang semakin memuncak di negara Amerika Selatan itu.

Sebelum ini, Boluarte yang juga bekas naib presiden telah mengisytiharkan darurat di wilayah Arequipa, Ica dan Apurimac.

Beliau ialah presiden keenam negara dalam tempoh kurang lima tahun. Bekas Presiden Pedro Pablo Kuczynski meletak jawatan semasa proses pemecatannya pada 2018 dan Martin Vizcarra disingkirkan Kongres pada 2020.

-- BERNAMA