BANGKOK: Penunjuk perasaan di Thailand berhimpun di ibu negara menuntut peletakan jawatan perdana menteri Prayuth Chan-Ocha yang telah mencapai had penggal lapan tahun.

Penunjuk perasaan menari mengelilingi lilin dan membakar gambar Prayuth di dalam sebuah mangkuk bersama dengan barangan seperti garam, batang kemenyan sebagai sebahagian daripada upacara protes.

Mercun dinyalakan sebelum penunjuk perasaan mengangkat tabik hormat tiga jari sebagai simbol protes.

Isnin lalu, Mahkamah Perlembagaan Thailand menerima petisyen daripada Ahli Parlimen Pembangkang yang memohon keputusan sama ada Perdana Menteri telah mencapai had penggal yang membolehkan beliau kekal memegang jawatan.

Yang menjadi isu ialah tarikh yang sepatutnya digunakan dalam menentukan berapa lama beliau telah memegang jawatan.

Prayuth, ketika itu komander tentera, merampas kuasa pada Mei 2014 selepas menggulingkan kerajaan yang dipilih dalam rampasan kuasa tentera.

Beliau mengetuai junta yang memerintah dan dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 Ogos 2014, di bawah perlembagaan sementara pasca rampasan kuasa.

Pengkritiknya dan beberapa pakar undang-undang berpendapat, ini bermakna beliau akan genap lapan tahun memegang jawatan pada Selasa.

Bagaimanapun, penyokongnya berkata, perlembagaan semasa negara yang mengandungi peruntukan mengehadkan Perdana Menteri kepada lapan tahun berkuat kuasa pada 6 April 2017 dan itu harus digunakan sebagai tarikh permulaan.

Tafsiran yang lebih baik ialah pengiraan detik bermula pada 9 Jun 2019, apabila Prayuth memegang jawatan di bawah perlembagaan baharu selepas pilihan raya umum 2019.

Tinjauan menunjukkan populariti perdana menteri itu berada pada tahap rendah.

Beliau juga dituduh gagal mengendalikan ekonomi dan tindak balas Thailand terhadap pandemik COVID-19.

Prayuth dan kerajaan gabungannya sebelum ini terselamat daripada empat undi tidak percaya sejak pilihan raya 2019, serta terbaharu pada bulan lalu.