SINGAPURA:Singapura telah mencapai persetujuan secara dasar untuk mempunyai protokol perjalanan bagi situasi seperti kematian ahli keluarga, kata Menteri Hal Ehwal Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan.

"Butiran yang tepat masih dirangka," kata Balakrishnan di Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen, Sylvia Lim, jika kerajaan Singapura kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi memudahkan rakyat republik itu memasuki Malaysia untuk urusan peribadi yang penting seperti kematian ahli keluarga.

Dilaporkan pada 3 Jan lepas bahawa kedua-dua negara telah berunding mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas sempadan atas alasan belas ihsan.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata buat masa ini tidak ada SOP yang selaras bagi mereka yang ingin berbuat demikian.

"Setakat ini, SOP bagi perjalanan sedemikian adalah atas dasar ad hoc yang menyaksikan mereka yang perlu melakukan perjalanan rentas sempadan perlu mengemukakan surat rayuan," katanya.

Kepada soalan tambahan Lim mengenai keberkesanan saluran diplomatik bagi menyelesaikan isu dua hala berdasarkan situasi politik di Malaysia termasuk pengisytiharan darurat, Balakrishnan berkata: "Kami masih mampu mengekalkan hubungan dan komunikasi berkesan yang baik."

"Apa yang dapat saya katakan daripada perspektif Kementerian Luar ialah sepanjang krisis ini (COVID-19).. anda perlu ingat bahawa dalam kes Malaysia, mereka turut berdepan perubahan kerajaan dalam tempoh setahun lepas.

"Bagaimanapun, sepanjang krisis ini, kita telah berjaya mengekalkan hubungan dan komunikasi berkesan yang baik... antara perdana menteri dengan perdana menteri... antara menteri dengan menteri.. dan sudah tentu antara saya dan Menteri Luar Malaysia Hishammuddin serta para pegawai di peringkat perkhidmatan awam."

Beliau turut mendedahkan bahawa semua bentuk komunikasi secara rasmi mahupun tidak rasmi termasuk mesej menerusi aplikasi WhatsApp berjalan dengan lancar.

"Saya boleh maklumkan kepada anda bahawa sememangnya terdapat situasi yang menyebabkan saya menghubungi beliau (Hishammuddin) secara peribadi apabila ada rakyat Singapura berada dalam keadaan yang perlu dikendalikan dengan bijaksana dan beliau telah bersetuju menghulurkan bantuan," katanya.

-- BERNAMA