[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

PRU Korea Selatan: Undian awal hari pertama cecah 19.58 peratus, tertinggi direkodkan

Bernama 29/05/2025 | 14:55 MYT
Calon presiden dari Parti Demokratik bersama pengundi awal lain menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal di sebuah pusat membuang undi di Seoul. - AP
SEOUL: Peratusan keluar mengundi awal bagi hari pertama pilihan raya presiden Korea Selatan mencatat rekod tertinggi apabila 19.58 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Khamis, hari pertama pengundian awal untuk memilih pengganti bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang digugurkan jawatan akibat cubaan melaksanakan undang-undang tentera, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pengundian awal selama dua hari itu bermula di 3,568 pusat pengundian di seluruh negara pagi tadi. Hari pengundian rasmi dijadualkan berlangsung pada Selasa depan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, seramai 8.69 juta daripada 44,391,871 pengundi berdaftar, atau 19.58 peratus, telah mengundi antara 6 pagi hingga 6 petang Khamis.
Angka itu merupakan kadar tertinggi bagi hari pertama sejak pengundian awal secara nasional diperkenalkan pada 2014.
Peratusan itu juga 2.01 mata lebih tinggi berbanding kadar pengundian awal hari pertama dalam pilihan raya presiden sebelum ini pada 2022, yang mencatatkan 17.57 peratus.
Ketika ini, enam calon sedang bersaing merebut jawatan presiden.
Tinjauan pendapat terkini yang diterbitkan pada Rabu menunjukkan calon Parti Demokrat (DP), Lee mendahului dengan 49.2 peratus sokongan, diikuti Kim dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) dengan 36.8 peratus, manakala Lee Jun-seok, calon Bebas, di tempat ketiga dengan 10.3 peratus.
Presiden baharu akan memulakan tempoh perkhidmatan selama lima tahun serta-merta selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
-- BERNAMA
#PRU #pilihan raya #Korea Selatan #undi awal #politik korea selatan