INTERNATIONAL
PRU2025 Singapura: 11 himpunan kempen terakhir dijadual pada 1 Mei
Kempen pilihan raya akan dihentikan sebaik sahaja tempoh bertenang bermula pada tengah malam 2 Mei. - Foto BERNAMA
SINGAPURA: Sebanyak 11 perhimpunan dijadual berlangsung pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum Singapura (PRU2025) hari ini, menjelang hari pengundian pada 3 Mei.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan Pejabat Permit Pilihan Raya telah mengeluarkan permit perhimpunan kepada enam parti politik dan seorang calon bebas bagi slot waktu antara 7 hingga 10 malam.
Parti-parti yang akan mengadakan perhimpunan ialah Parti Tindakan Rakyat, Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Demokratik Singapura (SDP), Red Dot United (RDU), dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
PAP dijadual mengadakan perhimpunan di lima kawasan: Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Potong Pasir serta Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Aljunied, Punggol, Sengkang dan Tampines.
Kempen akan dihentikan sebaik sahaja tempoh bertenang bermula pada tengah malam 2 Mei, bagi memberi ruang kepada pengundi menilai secara rasional isu-isu yang dibangkitkan sebelum mengundi.
-- BERNAMA