DUNIA
PRU2025 Singapura: 82 peratus mengundi setakat 5 petang - ELD
Seramai 2,164,593 rakyat Singapura telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU2025) setakat 5 petang, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD). - Foto REUTERS/Edgar Su
SINGAPURA: Seramai 2,164,593 rakyat Singapura telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU2025) setakat 5 petang, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).
"Ini mewakili kira-kira 82 peratus daripada 2,627,026 pengundi berdaftar di semua kawasan pilihan raya yang ditandingi," menurut ELD dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jurucakap jabatan itu turut menggalakkan pengundi supaya tidak menunggu saat akhir untuk mengundi memandangkan semua 1,240 pusat pengundian akan ditutup pada 8 malam.
Selain pengundian dalam negara, 10 pusat pengundian di luar negara turut dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam waktu tempatan masing-masing, namun perlu ditutup selewat-lewatnya pada waktu penutupan rasmi di Singapura.
Pusat pengundian luar negara itu terletak di Dubai, London, Washington D.C., New York, San Francisco, Canberra, Tokyo, Beijing, Hong Kong dan Shanghai.
Sementara itu, menurut The Straits Times (ST), Perdana Menteri Lawrence Wong telah membuang undi di Dewan Sukan MOE (Evans) sekitar tengah hari.
Ini merupakan pilihan raya umum pertamanya sejak memegang jawatan pada Mei tahun lalu.
Wong mengetuai pasukan PAP di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee, yang mereka menangi pada PRU2020 dengan 63.18 peratus undi.
-- BERNAMA