APLIKASI permainan mudah alih popular, PlayerUnknown Battlegrounds Mobile (PUBG) yang telah mencetus keghairahan bagi sebilangan besar penggemar di seluruh dunia rupa-rupanya mengundang keresahan bagi segelintir masyarakat.

Di beberapa buah daerah di Gujarat, India misalnya, aplikasi itu diharamkan oleh pemerintah tempatan berkuatkuasa 6 Mac lalu.

Alasan pengharaman itu ialah kerana PUBG didakwa sebagai merbahaya kerana mencetus ketagihan kepada penggemarnya sehingga memberi kesan negatif pada perkembangan sosiologi.

Antara daerah yang menerima kesan kurang baik daripada aplikasi permainan itu ialah Surat, Rajkot dan Vadodara.

Selepas lapan hari pengharaman yang pertama kali dikenakan di India, seramai 10 individu telah ditangkap di Rajkot kerana melanggar larangan akibat bermain di kawasan umum.

Menurut portal The Indian Express, daripada 10 individu itu, enam daripada mereka terdiri mahasiswa dan mereka ditangkap oleh polis berhampiran sebuah kolej yang menjadi tumpuan orang ramai pada Selasa lalu

Sementara dua lagi penggemar PUBG yang tidak didedah identiti mereka diberkas oleh Kumpulan Operasi Khas Rajkot (SGO) kerana terlalu obses bermain aplikasi itu juga di kawasan awam.

Manakala, dua individu lain yang juga ditangkap polis masing-masing merupakan pekerja di sektor swasta dan seorang buruh.

Jurucakap polis Rajkot, Rohit Raval berkata, aplikasi PUBG telah menyebabkan ketagihan melampau dalam kalangan penggemar.

"Akibat sibuk bermain PUBG, tertuduh langsung tidak menyedari kehadiran pihak polis yang mendekati mereka,” kata Rohit seperti dilaporkan The Indian Express.

Sehubungan itu, pihaknya merampas telefon bimbit kesemua individu itu bagi tujuan siasatan.

Mereka juga, katanya, akan didakwa di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan India kerana melanggar pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis dan Seksyen 35.