[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
INTERNATIONAL

Pukul isteri dengan pistol gara-gara dikejutkan bersarapan

Sinar Harian 25/04/2025 | 01:00 MYT
Vanit (kiri) menerima empat jahitan selepas dipukul menggunakan pistol oleh suaminya. - Foto Sinar Harian/Agensi
KALASIN: Seorang lelaki di wilayah Kalasin, Thailand bertindak menyerang isterinya dengan pistol selepas dikejutkan untuk bersarapan
Wartawan tempatan yang melawat lokasi kejadian mendapati wanita berkenaan mengalami kecederaan di kepala.
Menurut portal berita Thailand, Workpoint News, mangsa terpaksa menerima empat jahitan.
Mangsa, wanita berusia 43 tahun dikenali sebagai Vanit, menjelaskan insiden berlaku sekitar jam 9 pagi (waktu tempatan) ketika dia cuba mengejutkan suaminya untuk bersarapan.
Namun, lelaki itu bertindak marah dan situasi menjadi tegang sehingga berlaku pertengkaran.
Ketegangan memuncak dan Vanit melarikan diri ke rumah bapa saudaranya yang terletak berdekatan untuk mendapatkan perlindungan.
Bagaimanapun, suaminya didakwa mengejarnya dan memukul kepalanya dengan pistol.
Walaupun Vanit masih belum membuat laporan polis, ahli keluarganya menggesa agar tindakan undang-undang diambil kerana ini bukan kali pertama suaminya bertindak ganas.
Vanit menyatakan bahawa dia sanggup memaafkan suaminya sekiranya lelaki itu menjalani ritual Khan Ha atau upacara permohonan maaf tradisional melibatkan lima barang dan dia perlu memohon maaf dengan ikhlas serta menyesali perbuatannya itu.
Namun, dia menegaskan tidak akan tinggal bersama lelaki itu lagi.
Pasangan tersebut dilaporkan telah tinggal bersama lebih setahun tetapi tidak mempunyai anak.
Vanit mempunyai lima anak hasil daripada hubungan terdahulu.
Sementara itu ibu saudara mangsa mengesahkan kejadian berlaku di rumahnya dan dia sendiri menyaksikan lelaki itu memukul isterinya dengan senjata.
Walaupun tidak pasti sama ada lelaki itu terbabit dengan dadah t, beliau percaya hubungan perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan lagi kerana kerap berlaku pertengkaran dan keganasan dalam rumah tangga pasangan itu. - Sinar Harian memetik agensi
#isteri #dipukul suami #jahitan #pistol