ABUJA: Puluhan penduduk dilarikan selepas kumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang sebuah masjid utama semasa solat Jumaat di Negeri Niger, bahagian tengah Nigeria, kata polis pada Sabtu, lapor Xinhua.
Jurucakap Polis di Niger, Wasiu Abiodun memberitahu Xinhua menerusi telefon bahawa sejumlah mangsa dilarikan berikutan serangan di Dekara, sebuah komuniti dalam Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Borgu pada Jumaat.
Lelaki bersenjata berkenaan mengepung masjid sebelum membawa lari jemaah melalui laluan semak, kata Abiodun.
Beliau berkata anggota keselamatan telah melancarkan operasi menyelamat, namun usaha mereka terhalang berikutan jambatan terputus yang menghubungkan pekan utama dengan komuniti terjejas, selain bentuk muka bumi yang sukar serta keadaan jalan yang daif di kawasan itu.
Negeri Niger menyaksikan insiden serangan ganas berulang kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk aktiviti penyamunan dan penculikan.
-- BERNAMA-XINHUA