DUNIA
Puluhan ribu berhimpun di Tel Aviv desak tamat perang Gaza, tuntut pembebasan tebusan
Penunjuk perasaan menyertai demonstrasi di Tel Aviv, Israel pada Sabtu bagi menuntut pembebasan segera tebusan yang ditahan di Gaza sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. - Gambar Reuters
TEL AVIV : Puluhan ribu penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tebusan (Hostages Square) di Tel Aviv pada Sabtu, bagi mendesak penamatan perang di Gaza dan menuntut pembebasan baki tebusan yang masih ditahan.
Forum Hostages and Missing Families menganggarkan seramai 30,000 orang hadir dalam perhimpunan mingguan itu, yang kini menjadi antara simbol utama desakan rakyat terhadap kerajaan Israel.
"Ia besar, meriah dan bingit," kata wartawan CNN, Nic Robertson yang berada di lokasi.
Ramai peserta membawa sepanduk bergambar tebusan dengan mesej “Bawa mereka pulang sekarang”, manakala sebahagian lagi menyeru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump campur tangan bagi menamatkan perang.
Salah satu sepanduk berbunyi: “Presiden Trump, tamatkan krisis Gaza! Hadiah Nobel sedang menanti!”
Trump sebelum ini memainkan peranan penting dalam menjayakan gencatan senjata antara Israel dan Iran selepas 12 hari konflik.
Beliau turut menggesa pihak tentera Israel menghentikan serangan balas besar-besaran terhadap Iran selepas pelancaran peluru berpandu ke utara Israel, dan sebaliknya hanya menyasarkan sistem radar di utara Tehran.
Kebolehan Trump untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilihat sebagai harapan oleh ramai penunjuk perasaan untuk menamatkan perang yang telah berlarutan lebih 600 hari.
Ruby Chen, ibu kepada mendiang Itay Chen yang terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan masih dipercayai disimpan di Gaza menyeru agar kerajaan meletakkan pembebasan tebusan sebagai keutamaan tertinggi, meskipun terpaksa menghentikan perang.
"Bibi, membawa pulang tebusan bukan tanda menyerah kalah. Ia adalah sebahagian daripada menjadi Yahudi," katanya merujuk kepada Netanyahu dengan gelaran mesra. “Perdana Menteri, sekaranglah masanya. Jangan lagi berpolitik. Bawa pulang kesemua 50 tebusan yang masih ada.”
Perhimpunan itu dilihat sebagai gelombang baharu tekanan terhadap kerajaan pimpinan Netanyahu selepas gencatan senjata dengan Iran, ketika desakan terhadap penyelesaian politik bagi konflik Gaza semakin memuncak. - Agensi
#Israel serang Palestin
#tunjuk perasaan
#Hostages Square
#desak tamat perang
#Benjamin Netanyahu
#krisis Gaza