Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Puluhan ribu penduduk Gaza pulang ke rumah yang musnah selepas gencatan senjata

Agensi 12/10/2025 | 01:00 MYT
Penduduk Palestin berjalan di sepanjang jalan menuju ke utara, ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas dikuatkuasakan di Gaza Tengah. - Gambar Reuters
GAZA: Puluhan ribu rakyat Palestin yang dipaksa meninggalkan rumah mereka kini berpusu-pusu pulang ke kawasan utara Gaza yang musnah, selepas tentera Israel menghentikan operasi seperti dipersetujui dalam fasa pertama pelan gencatan senjata dengan Hamas dan berundur sebahagiannya.

Jalan al-Rashid di Gaza yang sebelum ini menjadi laluan utama keluar-masuk ketika penduduk melarikan diri daripada serangan Israel, sekali lagi menyaksikan lautan manusia bergerak ke arah utara.

Kini, dengan gencatan senjata berkuat kuasa dan tentera Israel berundur dari Koridor Netzarim - yang sebelum ini memisahkan jalan itu - puluhan ribu rakyat Palestin memulakan perjalanan pulang ke utara dengan harapan dapat kembali menetap buat selamanya.

“Sekali lagi, rakyat Palestin yang dipindahkan menggunakan jalan yang sama - satu-satunya nadi kehidupan bagi mereka untuk pulang ke rumah masing-masing di Gaza dan bahagian utara wilayah itu,” lapor wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud dari lebuh raya pesisir tengah Gaza.

Mahmoud menjelaskan, lebuh raya berkenaan rosak teruk akibat kerja jentolak tentera Israel, menyukarkan perjalanan mereka yang membawa barangan masing-masing.

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum yang membuat liputan dari Al Nuseirat, Gaza berkata: “Sejak pagi tadi, kami melihat keluarga berjalan menuju ke Gaza City. Kami melihat kanak-kanak, wanita, warga emas, kereta, van, serta pedati yang sarat dengan perabot. Ada keluarga yang menanggalkan khemah sementara mereka untuk dibawa dan dipasang semula di atas runtuhan rumah di Gaza City.”

Penduduk ini sebelum ini meninggalkan Gaza City akibat pengeboman, namun mendapati keadaan di kawasan tengah dan selatan Gaza terlalu sesak untuk didiami.

“Walaupun kepulangan ini mencatat detik bersejarah, ia mesti disertai langkah konkrit bagi menangani krisis kemanusiaan yang masih berlarutan,” tambah Abu Azzoum.

Kebanyakan mereka yang pulang kini mendapati hampir tiada bangunan yang masih utuh di Gaza City selepas pengeboman dan serangan darat berterusan oleh Israel.

Keperluan mendesak kini tertumpu kepada penyediaan tempat perlindungan sementara dan unit perumahan mudah alih untuk keluarga yang kembali.

Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 67,211 nyawa dan mencederakan 169,961 orang.

Di pihak Israel, 1,139 orang terbunuh dalam serangan 7 Oktober 2023 di selatan negara itu, manakala sekitar 200 orang dilaporkan ditawan. - Agensi





#Gencatan senjata Gaza #rakyat Palestin #penduduk Gaza #pembebasan tebusan