DUNIA

Puluhan ribu sertai demonstrasi pro-Palestin terbesar dalam sejarah New Zealand

Astro Awani 13/09/2025 | 09:50 MYT
Demonstrasi pro-Palestin terbesar dalam sejarah New Zealand ini membawa mesej solidariti terhadap rakyat Palestin dan desakan agar kerajaan mengenakan sekatan ke atas Israel. -Foto Instagram/ricardommarch
AUCKLAND: Lebih 50,000 orang menyertai perarakan “March for Humanity” di pusat bandar Auckland hari ini, menjadikannya demonstrasi pro-Palestin terbesar dalam sejarah New Zealand sejak konflik Gaza tercetus pada Oktober 2023.


Ringkasan AI
  • Lebih 50,000 peserta menyertai perarakan -March for Humanity- di Auckland, menjadikannya demonstrasi pro-Palestin terbesar dalam sejarah New Zealand.
  • Perarakan membawa mesej solidariti terhadap rakyat Palestin dan desakan agar kerajaan mengenakan sekatan ke atas Israel, dengan kehadiran ahli Parlimen Parti Hijau.
  • Polis menganggarkan kehadiran sekitar 20,000 orang dan mengesahkan tiada tangkapan, manakala rancangan asal untuk menyeberangi Jambatan Harbour dibatalkan akibat cuaca buruk.


Perarakan yang dianjurkan oleh kumpulan Aotearoa for Palestine itu bermula di Aotea Square dan berakhir di Victoria Park, membawa mesej solidariti terhadap rakyat Palestin serta desakan agar kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Christopher Luxon mengenakan sekatan diplomatik dan ekonomi ke atas Israel.

Peserta membawa bendera Palestin dan sepanduk bertulis “Don’t normalise genocide” (Jangan normalisasikan genosid) serta “Grow a spine, stand with Palestine” (Jangan gentar, berdiri bersama Palestin) sambil melaungkan slogan menuntut gencatan senjata segera dan pemulihan bantuan kemanusiaan melalui UNRWA.

Menurut jurucakap Aotearoa for Palestine, Arama Rata, perarakan ini diinspirasikan oleh demonstrasi besar-besaran yang menutup Jambatan Harbour Sydney pada Ogos lalu.

Mereka pada awalnya merancang untuk menyeberangi Jambatan Harbour Auckland, namun terpaksa membatalkan rancangan itu berikutan amaran cuaca buruk dengan angin kencang mencecah 70km/j.

Polis New Zealand menganggarkan kehadiran sekitar 20,000 orang dan mengesahkan tiada tangkapan dilakukan sepanjang perarakan berlangsung.

Mereka turut menyediakan penghadang manusia bagi memisahkan peserta daripada kumpulan penentang yang membawa sepanduk “Free the Hostages” dan “Down with Hamas”.

Ahli Parlimen Parti Hijau, Marama Davidson, Ricardo Menéndez March dan Steve Abel turut hadir menyatakan sokongan, menyifatkan perarakan itu sebagai manifestasi kepimpinan rakyat yang mendahului kerajaan dalam isu kemanusiaan.

Setakat ini, kerajaan New Zealand masih menimbang untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.

Dalam kenyataan terdahulu, Perdana Menteri Luxon menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai “amat mengerikan” dan menekankan keperluan bantuan kemanusiaan segera.






#New Zealand #March for Humanity #demonstrasi pro-Palestin #terbesar dalam sejarah #Aotearoa for Palestine