Skip to main content

Dunia

Punca serangan ke atas sekolah perempuan di Iran mungkin tidak akan diketahui - Trump

MINAB
Serangan yang berlaku pada 28 Februari 2026, hari pertama konflik antara Iran dengan gabungan AS dan Israel, mengorbankan lebih 175 pelajar dan guru. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata punca sebenar serangan yang memusnahkan sebuah sekolah perempuan di Iran pada Februari lalu mungkin tidak akan dapat dipastikan, walaupun siasatan masih dijalankan.

Dalam kenyataan kepada media, Trump berkata kekeliruan mengenai insiden tersebut berpunca daripada situasi konflik yang menyaksikan pelbagai peluru berpandu dilancarkan pada masa sama.

“Saya tidak tahu sama ada perkara itu akan dapat diselesaikan… kerana terdapat peluru berpandu berterbangan di merata tempat,” katanya, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang mengerikan.

Serangan yang berlaku pada 28 Februari 2026, hari pertama konflik antara Iran dengan gabungan AS dan Israel, mengorbankan lebih 175 pelajar dan guru, menurut pegawai Iran.

Insiden di bandar Minab itu mencetuskan kemarahan antarabangsa, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai kejadian yang “amat mengerikan” susulan jumlah korban yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

Laporan Reuters sebelum ini menyatakan bahawa siasatan dalaman awal tentera AS menunjukkan kemungkinan pasukan AS bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, walaupun Pentagon belum mengesahkan secara rasmi dapatan awal itu.

Sumber yang mengetahui siasatan itu turut memaklumkan bahawa serangan tersebut mungkin berpunca daripada penggunaan data sasaran yang lapuk, menyebabkan peluru berpandu terkena bangunan sekolah.

Difahamkan, lokasi sekolah itu terletak berhampiran atau di kawasan yang pernah digunakan sebagai pangkalan ketenteraan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang mungkin menyumbang kepada kesilapan dalam penetapan sasaran.

Walaupun terdapat dakwaan itu, Trump berkata beliau tidak melihat bukti yang menunjukkan AS bertanggungjawab sepenuhnya.

“Ada yang kata ia peluru berpandu kami, mungkin bukan… saya tidak nampak apa-apa yang meyakinkan bahawa ia dilakukan oleh kami,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak ada pihak yang sengaja menyasarkan sekolah tersebut, mengulangi pendiriannya bahawa kesilapan boleh berlaku dalam keadaan perang.

Siasatan rasmi masih dijalankan oleh Pentagon dan Komando Pusat AS, yang menyifatkan kes tersebut sebagai kompleks kerana melibatkan kawasan aktif ketenteraan.

Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serangan sengaja ke atas institusi awam seperti sekolah boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang.

Namun, pegawai AS menegaskan bahawa tentera negara itu tidak menyasarkan sekolah secara sengaja.

Tragedi ini terus mencetuskan persoalan mengenai ketelusan dan tanggungjawab dalam operasi ketenteraan, khususnya apabila melibatkan korban awam berskala besar.

Walaupun Trump menyatakan kesukaran untuk menentukan pihak bertanggungjawab, tekanan antarabangsa dijangka berterusan bagi memastikan siasatan telus dan keadilan kepada mangsa.
 

Must Watch Video

Advertisement