DUNIA

Purata harga gas EU naik 150 peratus dalam empat tahun berikutan sekatan ke atas Rusia

Bernama 29/06/2025 | 10:19 MYT
Punca utama kenaikan harga adalah disebabkan peralihan EU kepada gas asli cecair (LNG) berikutan sekatan terhadap Rusia. - AP
MOSCOW: Harga gas untuk Kesatuan Eropah (EU) telah meningkat 2.5 kali ganda sejak pelaksanaan sekatan berskala besar terhadap Rusia, dengan kenaikan dalam tempoh empat tahun dari 2021 hingga 2025 adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding kenaikan dalam tempoh 20 tahun sebelumnya, menurut pengiraan RIA Novosti berdasarkan data Eurostat.
Pada April 2021, harga purata bagi setiap 1,000 meter padu gas untuk EU ialah 206 euro, meningkat kepada 523.5 euro pada April tahun ini.
Dalam tempoh empat tahun sebelumnya, harga bahan api ini di EU hanya meningkat 1.7 peratus, apabila pada April 2017 harga bagi 1,000 meter padu gas adalah 202.5 euro. Dua puluh tahun lepas, pada pertengahan musim bunga 2000, harga untuk jumlah yang sama ialah 123.9 euro.
Punca utama kenaikan harga adalah disebabkan peralihan EU kepada gas asli cecair (LNG) berikutan sekatan terhadap Rusia. Pada 2021, LNG hanya merangkumi satu pertiga daripada keseluruhan pembelian EU, namun pada 2025 jumlahnya hampir mencecah separuh. Dalam tempoh empat tahun lepas, harga import LNG meningkat kepada 645.5 euro daripada 257 euro.
Harga gas saluran paip kekal lebih rendah berbanding LNG, iaitu pada 417 euro. Pada 2021, EU membeli 1,000 meter padu gas saluran paip pada harga hanya 178.7 euro.
Akibatnya, perbelanjaan EU untuk gas pada April 2025 meningkat kepada 8.05 bilion euro berbanding 3.5 bilion euro empat tahun lepas, meskipun jumlah import menurun 8.5 peratus kepada 15.4 bilion meter padu.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
#Kesatuan Eropah #harga gas #sekatan #Rusia #bahan api