SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan membangunkan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands (WCP) untuk penyelesaian jangka panjang dan lebih mampan kepada kesesakan kronik di persimpangan sempadan darat antara republik itu dan Malaysia.

"WCP yang dibangunkan semula akan beroperasi mulai tahun 2028 dan tidak akan mengganggu operasi berterusan di WCP," kata ICA di laman sesawangnya pada Isnin.

Menurut ICA, sejak pembukaan WCP pada tahun 1999, jumlah pengembara harian telah meningkat secara berterusan.

"Daripada kira-kira 230,000 pengembara pada tahun 2000, pada hari ini jumlah pengembara harian telah kembali ke tahap sebelum COVID iaitu kira-kira 300,000 pengembara dan selalunya melebihi paras ini semasa hujung minggu yang panjang dan waktu cuti," katanya.

ICA menyatakan bahawa bilangan pengembara yang melalui WCP diunjurkan mencecah 400,000 sehari menjelang 2050.

Tanpa membangunkan semula WCP, ICA berkata masa perjalanan untuk trafik kenderaan boleh meningkat lebih 60-70 peratus semasa tempoh puncak menjelang 2050.

ICA berkata pihaknya telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan teknikal yang meluas untuk menentukan jumlah tanah yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan.

"Ia dinilai bahawa keperluan tanah untuk pembangunan semula WCP hanya boleh dipenuhi melalui pengambilan tanah dan tebus guna tanah," katanya.

Menurut ICA JTC Corp, sebuah agensi kerajaan yang menyelia kawasan perindustrian Singapura telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja penambakan itu.

Sebaik sahaja WCP dibangunkan semula sepenuhnya, pihak berkuasa berkata pusat pemeriksaan itu akan mempunyai keluasan kira-kira lima kali ganda berbanding saiz sekarang.

"WCP yang dibangunkan semula menyasarkan antara lain, untuk meningkatkan kecekapan pelepasan merentasi semua mod pengangkutan (kenderaan kargo, kereta, motosikal dan bas), mengurangkan purata masa perjalanan daripada 60 minit semasa kepada 15 minit semasa tempoh puncak," kata ICA.

Memandangkan keperluan untuk mengekalkan operasi semasa di WCP dan mengambil kira keadaan tapak sedia ada, ICA telah membentangkan dengan teliti rancangan untuk membangunkan semula WCP dalam beberapa fasa dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Di bawah Fasa 1, ICA akan membina sambungan di Pusat Bandar Woodlands Lama (OWTC) yang akan menyaksikan peningkatan ketara dalam kapasiti pelepasan untuk kenderaan kargo, kereta dan motosikal.

Terdapat 21 lorong kargo dua hala dan 78 lorong kereta dibina pada sambungan OWTC.

"Ini akan meningkatkan kapasiti aliran kargo sebanyak 30 peratus dan kapasiti laluan kenderaan sebanyak 95 peratus.

"Sebanyak 78 laluan kenderaan juga boleh ditukar kepada 156 laluan motosikal bagi memberikan fleksibiliti operasi ICA untuk menguruskan keadaan trafik pada waktu puncak," katanya.

Lebuhraya Bukit Timah (BKE) juga akan diperbesar untuk mewujudkan laluan langsung bagi kenderaan yang keluar dari WCP untuk mengakses BKE bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan tempatan pada waktu puncak.

Pembinaan sambungan OWTC dan BKE dijangka bermula pada 2025 dan siap secara berperingkat mulai 2028.

Berikutan itu, ICA berkata Pusat Pemeriksaan Woodlands Lama akan dirobohkan, dibangunkan semula dan disepadukan dengan sambungan OWTC, yang dijangka beroperasi sepenuhnya mulai 2032.

-- BERNAMA